Peranan ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat
Penderaan kanak-kanak adalah sejenis crime of opportunity yang bermakna pelakunya boleh terdiri dari sesiapa sahaja – ibu, bapa, ahli keluarga, guru, rakan, ustaz, tukang kebun dan pengusaha pasar mini di sebelah rumah kita.
Selain dari hukuman undang-undang berat dikenakan ke atas pelaku yang didapati bersalah, gejala ini hanya dapat dibendung sekiranya ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain.
Terutamanya bagi mereka yang berstatus ibu atau bapa tunggal, anda lebih perlu lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup baru. Jangan terlalu alpa mengejar kebahagiaan diri sehingga keselamatan anak-anak terabai.
Luangkan masa untuk kenali hati budi, latar belakang, keluarga dan teman-teman bakal pasangan hidup bagi memastikan orang tersebut akan menjadi suami atau isteri yang bertanggungjawab dan bapa atau ibu yang baik kepada permata hati kita.

Peranan ibu bapa
Luangkan banyak masa kualiti berinteraksi dengan anak-anak dan ambil tahu aktiviti yang mereka buat bersama orang lain semasa ketiadaan anda. Galakkan anak anda untuk berinteraksi dengan anda secara terbuka. Dengan cara ini, mereka lebih selesa untuk berterus terang dengan anda.
Semasa berinteraksi, baca mesej yang tersirat dari segi perangai dan gerak geri badan. Sebagai contoh, jika anak anda menunjukkan keengganan tanda ada sesuatu yang tidak kena.
Peka dengan perubahan fizikal yang berlaku pada anak anda. Sekiranya terdapat kesan yang mencurigakan, gunakan cara lembut untuk mendapatkan maklumat dari mereka. Tunjukkan yang anda sayang dan ambil berat tentang mereka. Ini akan membuatkan anak anda berasa lebih selamat dan selesa untuk berkongsi segala cerita dengan anda.
Kenali kawan-kawan dan orang-orang yang terlibat dalam aktiviti harian anak anda. Bagus ada perasaan syak wasangka jika anak anda meluangkan lebih banyak masa dengan segelintir orang di luar waktu aktiviti normal seperti selepas latihan sukan dan kelas tambahan.
Jelaskan pada mereka apa yang orang lain boleh atau tidak boleh buat ke atas mereka. Mereka mempunyai hak untuk menolak dan jika perkara seumpama ini berlaku, mereka perlu terus maklumkan pada anda.
Jika terdapat elemen-elemen penderaan, terus buat aduan kepada talian KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di talian 15999. Anda juga boleh bawa anak anda ke hospital yang terdekat untuk pemeriksaan sebelum membuat laporan polis.
Peranan ahli keluarga
Luangkan masa untuk bertanya khabar dan melawat sesama ahli keluarga. Sekiranya terdapat sebarang perkara yang mencurigakan, terus maklumkan kepada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut. Mungkin anda tidak selesa dengan tindakan ini kerana khuatir dianggap menjaga tepi kain orang lain, namun biarlah bertengkar sesama keluarga dari membisukan diri sehingga tergadai nyawa anak yang tidak berdosa.
Peranan masyarakat
Jangan ambil sikap ‘aku tak mahu masuk campur’ kerana ia bermakna anda bersubahat membiarkan mangsa terus menjadi mangsa dera.
Jika keluarga mangsa mengambil sikap sambil lewa, ambil tindakan sendiri dengan melaporkan kepada talian KASIH, JKM atau polis untuk siasatan lanjut.

