Tak tahu umur, tak kenal hari dan bulan. Ini kisah suku kaum yang tidak mempunyai masa dalam kehidupan mereka

Dari Penulis

Kehidupan kita tidak lari daripada kiraan masa. Itulah yang menentukan segala perjalanan hidup kita, termasuk kiraan umur kita. Jangan pelik jika ada kaum di belahan dunia ini yang tidak menggunakan konsep masa dalam kehidupan mereka.

Percaya atau tidak, suku kaum asli yang dikenali sebagai Amondawa merupakan satu-satunya suku yang tidak kenal erti konsep waktu. Bagi suku yang tinggal di daerah Rondonia di Brazil ini, tidak wujud istilah masa dalam kehidupan seharian mereka.

Sekumpulan penyelidik antropologi yang diketuai oleh Profesor Chris Sinha daripada bidang Psychology of Language di University of Portsmouth di United Kingdom telah melakukan kajian yang menjadi dokumentasi pertama dunia, yang menunjukkan konsep masa bukan sesuatu yang universal bagi manusia.

Kebiasaannya, masa adalah sesuatu yang boleh diukur, dihitung dengan tepat dan dibicarakan secara abstrak namun bagi kaum Amondawa, keadaan ini tidak wujud.

Kiraan masa tidak terpakai dalam kehidupan suku kaum Amondawa.

Suku kaum Amondawa ditemui buat pertama kalinya oleh sekumpulan ahli antropologi pada tahun 1986. Sejak itu, penyelidikan mengenai suku kaum istimewa ini mula mendapat perhatian ramai di kalangan pengkaji antropologi dunia.

Salah seorang pengkaji, Dr. Wany Sampaio yang turut serta melakukan kajian kognitif bahasa suku kaum ini mendapati, suku Amondawa tidak mempunyai perkataan tentang waktu. Contohnya, mereka tidak ada kosa kata yang menunjukkan saat, minit dan jam. Ini menunjukkan, masa adalah sesuatu yang tidak wujud dan tidak perlu dalam kehidupan mereka.

Apa yang lebih unik, mereka juga tidak memiliki usia. Ini disebabkan mereka sebenarnya tidak mengenal perkataan hari, bulan mahupun tahun. Oleh itu, suku kaum ini tidak tahu berapakah sebenarnya umur mereka.

Pengkaji bersama wanita suku Amondawa dan anaknya.

Mereka melalui kehidupan tanpa apa-apa perbezaan. Walau bagaimanapun, mereka ada cara tersendiri bagi menentukan anggaran usia. Kaedah yang digunakan cukup mudah. Nama ahli keluarga yang paling bongsu di kalangan keluarga akan diganti dengan nama lain jika ada kelahiran baru dalam keluarga berkenaan.

Ini bermakna, setiap anak yang dilahirkan akan menjadi bongsu dahulu sebelum kelahiran adik mereka. Jadi selepas  si adik ini lahir, anak tadi akan ditukarkan namanya kepada nama baru kerana nama mereka akan diberikan kepada ahli keluarga baru dalam keluarga itu. Bermaksud satu nama itu akan dikongsi dengan sejumlah adik-beradik lain dan anak yang terakhir dalam keluarga itu akan kekal dengan nama berkenaan.

Kaedah ini dilakukan untuk menentukan urutan keluarga mereka daripada yang besar kepada yang paling kecil sekali. Walaupun kedengaran pelik, namun kaedah ini telah diamalkan mereka sejak turun temurun lagi. Ia mencerminkan tahap kehidupan dan posisi mereka dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, jelas Dr. Sinha, suku kaum ini tidaklah terasing daripada waktu secara total. Mereka lebih mengenal waktu melalui kejadian yang berlaku di sekeliling mereka.

Mereka menggambarkan waktu itu sebagai satu pengalaman yang dilalui. Contohnya, mereka mengenal pembahagi waktu melalui musim berkala seperti kejadian malam dan siang, musim hujan ataupun kemarau.

Keadaan ini dikenal pasti sebagai faktor penyebab kenapa mereka terpinggir daripada arus kemodenan dunia. Suku Amondawa pertama kali mula berhubung dengan dunia luar pada tahun 1981 menerusi usaha Yayasan Pribumi Kebangsaan Brazil yang berjaya mengesan mereka jauh di dalam hutan. Sama seperti lazimnya suku peribumi yang lain, suku Amondawa juga tidak berpakaian sewaktu kali pertama ditemui.

Ketika mula belajar mengenali dunia luar, populasi suku kaum ini yang berjumlah 250 orang menurun kepada tidak sampai 100 orang kerana jangkitan penyakit dan konflik dengan orang luar. Populasi mereka kembali meningkat selepas tahun 1993.

Kini, suku Amondawa sudah berhubung dengan dunia luar, tinggal di enam buah perkampungan dan sering didatangi pengkaji dan diberi bantuan oleh pihak yayasan. Pun begitu, walau sudah ada rumah, pandai menonton TV dan berpakaian, kaum ini tetap mempertahankan bahasa, budaya dan tradisi mereka kerana tidak mahu ia hilang ditelan kemodenan yang mulai masuk ke dalam kehidupan mereka.

Kaum ini juga telah mula mengenali bahasa lain dengan percambahan kosa kata berlaku dalam pergaulan harian mereka. Pendedahan terhadap televisyen juga dilihat banyak membantu membawa pengenalan waktu kepada kaum ini.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This