Kesan darah ditemukan dalam bilik dan bilik air rumah Zayn Rayyan – saksi

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa Saksi Pendakwaan ke-28 menemukan kesan darah di dalam sebuah bilik dan juga di dalam bilik air, di unit kediaman kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin , di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dua tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh. 

Terdahulu dalam keterangan saksinya, Mohd Hafizee memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama-sama pasukan forensik telah pergi ke lokasi kejadian dan telah melakukan proses “luminol” di dalam rumah Zayn Rayyan sekitar pukul 9.30 malam, pada 9 Disember 2023.

Raja Zaizul Faridah: Apa proses ‘luminol’ ini?

Mohd Hafizee: Proses luminol adalah bertujuan untuk mendapatkan tindak balas kesan darah yang berada di sesuatu tempat kejadian.

Raja Zaizul Faridah: Apakah hasil siasatan ASP?

Mohd Hafizee: Hasil siasatan mendapati terdapat kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati selain terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.

Menurut beliau, sejurus proses ‘luminol’ memberikan tindak balas terdapat kesan darah di dalam kedua-dua ruangan itu, Mohd Hafizee telah melakukan siasatan bagi mengesahkan mengapa kesan darah tersebut berada di dalam bilik dan bilik air terbabit.

“Saya ada rakam percakapan tertuduh, Ismanira. Hasil keterangan tertuduh menyatakan si mati (Zayn Rayyan) pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasannnya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung yang berdarah pada kawasan dinding di dalam bilik atau di dalam rumah.

“Selain itu, Ismanira juga ada menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air. Namun, DNA atau darah yang ditemukan di dalam bilik air tersebut adalah milik Zaim Ikhwan sebagaimana dalam laporan kimia,” ujarnya.

Bagaimanapun ketika prosiding, tidak dinyatakan oleh saksi mahupun disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya berhubung pemilik kesan darah yang ditemukan di dalam bilik berkenaan.

Selain unit kediaman Zayn Rayyan, Mohd Hafizee memberitahu bahawa beliau bersama-sama pasukan forensik turut melakukan proses yang sama di beberapa buah rumah yang dipercayai terlibat di dalam kes ini yang mana tugasan itu selesai sekitar jam 2 pagi, 10 Disember 2023.

Prosiding perbicaraan kes ini bersambung pada jam 2 petang esok.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa selaku orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian, bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen sama antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This