KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus melaksanakan pemantauan berterusan susulan penamatan subsidi telur ayam secara berperingkat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, pemantauan berterusan itu bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku sama ada melibatkan bekalan atau harga telur ayam di pasaran.
Menurut beliau, perkara itu pernah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Katanya, Jemaah Menteri berpandangan cadangan dibawa KPKM untuk menamatkan pemberian subsidi telur ayam itu adalah wajar bukan hanya dari segi penjimatan subsidi tetapi juga memandangkan jumlah stok bekalan telur yang disifatkan lebih daripada mencukupi ketika ini.
“Jemaah Menteri sebelum ini pernah diingatkan bahawa konsep subsidi telur ayam ini wujud sewaktu COVID-19 melanda di mana terdapat masalah dari segi bekalan akibat daripada beberapa perkara yang berlaku ketika itu.
Baca artikel lain: Kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada 5 sen, pemberian subsidi tamat sepenuhnya 1 Ogos
“Hal ini pernah dibincangkan sebelum ini, bukan hari ini (mesyuarat Jemaah Menteri). Jemaah Menteri berbincang dan perkara itu diputuskan.
“”Semestinya pihak KPDN dan juga KPKM akan terus memantau untuk pastikan tidak berlaku perkara tidak diingini (seperti kenaikan harga terlalu tinggi) termasuk dalam isu bekalan atau jualan telur ayam di pasaran,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Terdahulu, KPKM dalam kenyataan memaklumkan kerajaan bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi barangan itu dikurangkan dari 10 sen ketika ini kepada 5 sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei ini.
Pada masa sama, pemberian subsidi telur ayam juga akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Menurut KPKM, langkah tersebut selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI.
KPKM memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin ekoran kos pengeluaran yang telah stabil.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

