KERAJAAN MADANI bertekad untuk terus mengangkat martabat pekerja ke tahap yang lebih baik tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit mahupun kepercayaan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dengan mengingatkan agar semua golongan pekerja tidak membenarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik.
Katanya, jika perkara itu terus menghantui negara, ia akan menghalang kepada produktiviti dan perkhidmatan.
“Saya dan kerajaan komited untuk membela nasib semua pekerja walaupun majoritinya dalam kalangan orang Melayu, nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan. Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.
“Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum, ini tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan kad Pekerja MADANI dan Aplikasi telefon pintar MyFutureJobs.
Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 pekerja awam dan swasta daripada pelbagai sektor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Menteri Kabinet, ketua setiausaha kementerian serta ketua-ketua agensi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

