KERAJAAN Negeri Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak di negeri itu bagi kesejahteraan rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Langkah itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dipengerusikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.
Wan Rosdy dalam kenyataan memaklumkan, perancangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL.
Menurut beliau, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing.
Katanya, ia menerusi pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) dan pembangunan TOD secara strategik dan mampan.
“Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK); Majlis Perbandaran Temerloh (MPT); Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing dengan penekanan kepada manfaat nyata kepada penduduk tempatan.
Baca artikel lain: ECRL Operation tawar 1,800 peluang pekerjaan – Anthony Loke
“Komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku; Inland Port; pusat pentadbiran dan pusat komersial; hotel dan kompleks perniagaan; pembangunan bercampur; institusi dan kemudahan masyarakat; utiliti dan insfrastruktur perumahan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata antara projek yang akan dilaksanakan oleh PBT ialah pembinaan terminal bersepadu dan gerai berangkai di Bentong, pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar, pembangunan bandar pintar di Daerah Temerloh, serta pembangunan hab maritim di Tanjung Gelang.
Beliau berkata pihaknya yakin bahawa pelaksanaan projek tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.
“Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

