Islam amat menekankan konsep wasatiyyah dalam melaksanakan amal soleh. Konsep ini membawa maksud kecemerlangan dalam perlaksanaan dan pertengahan dalam semua perkara.
Melihat kepada sudut kecemerlangan dalam pengertian wasatiyyah, Rasulullah s.a.w. adalah ikutan dan idola sejati umat Islam. Allah telah menobatkan Rasulullah s.a.w. sebagai uswah hasanah untuk umat Islam dalam surah al-Ahzab: 21,
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam kesungguhan melaksanakan ibadah. Rasulullah s.a.w. melaksanakan solat malam secara konsisten dan bersungguh-sungguh sehingga bengkak dua kakinya. Apabila disebut kepadanya,
“Tidakkah Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan akan datang?”
Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bukankah aku wajar menjadi hamba yang banyak bersyukur?” (HR Bukhari).
Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kita wajar berusaha sedaya upaya untuk menjejaki langkah Baginda dalam melaksanakan ajaran Islam. Dua perkara perlu diberikan perhatian. Pertama ialah keikhlasan dan kesungguhan dalam perlaksanaan dan kedua ialah memastikan amalan itu disyariatkan Allah melalui Rasulullah s.a.w.
Firman Allah dalam surah Al-Mulk: 2,
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Al-Imam Al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah telah berkata dalam mentafsirkan ayat di atas: Akhlasuhu wa aswabuhu, ertinya, “Seikhlas-ikhlasnya dan setepat-tepatnya”
Beliau ditanya apakah maksudnya dengan ‘Seikhlas-ikhlasnya dan setepat-tepatnya?’ Maka beliau pun menjawab,
“Sesungguhnya amalan itu, sekiranya ikhlas tetapi tidak tepat, ia tidak akan diterima. Dan sekiranya ia tepat tetapi tidak ikhlas, ia tidak akan diterima. Dan yang ikhlas itu ialah yang dilakukan demi kerana Allah manakala yang tepat itu ialah yang dilakukan berlandaskan kepada al-Sunnah.”
Wasatiyyah dalam ibadah
Memfokuskan kepada sudut pertengahan dalam pengertian wasatiyyah, antara cara termudah untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu amalan ialah dengan melihat kedudukannya. Sekiranya amalan itu berat sebelah sama ada kepada berlebihan atau mengurangi, dapatlah kita pastikan bahawa amalan itu tidak menepati cara Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorang pun yang menyulitkan (menyusahkan) amalan agama kecuali dia akan dikalahkan oleh agama. Jadi hendaklah kamu berusaha menepati kebenaran dan berusaha menepati kesempurnaan serta bergembiralah (dengan janji-janji baik Allah). Hendaklah kamu memanfaatkan waktu pagi, petang dan sebahagian waktu malam.”(HR al-Imam al-Bukhari).
Semasa melaksanakan mana-mana amal soleh dalam Islam, orang yang merasakan kesulitan akan mendapat pahala lebih daripada orang yang tidak merasakan kesulitan. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Aisyah r.ha. berkenaan umrahnya,
“Sesungguhnya kamu mendapat pahala mengikut kadar kepenatanmu dan perbelanjaanmu.” (HR al-Imam al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib dan dihukum sahih oleh al-Albani).
Sebagai contoh, umrah dan haji merupakan jihad bagi kaum wanita kerana kebiasaannya merekalah yang akan merasakan kesusahan dalam haji. Apabila Aisyah r.ha. bertanya:
“Wahai Rasulullah, mengapa kami tidak berperang dan berjihad bersama kalian?” Jawab Baginda,
“Bagi kamu semua (wanita) sebaik-baik jihad dan secantik-cantik jihad iaitu haji; Haji yang mabrur.” (HR al-Imam al-Bukhari).
Lebih pahala kerana susah?
Namun di sini, sering kali timbul kekeliruan dan salah faham. Praktikal ajaran Islam dilihat akan lebih berpahala sekiranya pengamal mewujudkan unsur kesulitan dan kesusahan. Dalam sebuah hadis, suatu hari Nabi s.a.w. melihat seorang lelaki dipapah oleh dua orang anaknya lalu Baginda bertanya,
“Apa halnya ini?” Mereka menjawab,
“Dia bernazar untuk berjalan (hingga ke Baitullah, Masjid Haram).” Rasulullah bersabda,
“Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak perlu) kepada penyeksaan lelaki ini terhadap dirinya.”Rasulullah memerintahkannya supaya menunggang kenderaan. (HR Bukhari dan Muslim).
Sebuah hadis lain pula mencatatkan bahawa semasa Rasulullah s.a.w. berkhutbah dia terlihat seorang lelaki berdiri. Baginda pun bertanya tentang lelaki itu. Para sahabat r.a. menjawab:
“Namanya Abu Israil, dia bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan melaksanakan puasa. Lalu Nabi s.a.w. bersabda,
“Perintahkan dia untuk bercakap, berteduh dan duduk. Dan hendaklah dia sempurnakan puasanya.” (HR Bukhari).
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menghuraikan hadis dan menjelaskan bahawa semua perkara yang menyakitkan manusia walaupun di kemudian hari, jika tidak disyariatkan dalam al-Quran mahupun al-Sunnah seperti berjalan tanpa kasut (berkaki ayam) atau duduk di bawah terik matahari, semua ini bukanlah ketaatan kepada Allah dan tidak sah bernazar dengannya.
Sebagai manusia, pastinya kita sarat dengan kekurangan. Namun sebagai Muslim, kita dididik agar berusaha sedaya upaya menepati kebenaran. Kita diajar supaya bergembira dengan janji-janji Allah kepada orang yang beramal soleh.
Kita juga disuruh memanfaatkan masa-masa yang penuh keberkatan iaitu awal pagi, di waktu petang dan juga sebahagian waktu malam. Itulah waktu-waktu yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan amal soleh, doa dan munajat kepada Allah agar mengurniakan segala kebaikan dan menghindarkan segala keburukan di dunia dan akhirat.
Justeru, hendaklah kita sentiasa ingat bahawa Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Allah mensyariatkan ajaran agama yang bersesuaian dengan kejadian manusia yang lemah. Umat Islam mestilah memastikan sesuatu amal soleh itu disyariatkan dalam al-Quran ataupun dalam hadis yang sahih.
Amal soleh itu hendaklah diimani dan diyakini sebagai satu amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Perlu diwujudkan keikhlasan dan kesungguhan dalam hati sang pengamal.
Pada masa yang sama, umat Islam juga perlu meneliti sudut praktikal amal soleh itu. Hendaklah dipastikan ia disinari cahaya sunnah Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan rahmat dan sesuai dengan fitrah.
Ingatlah sentiasa, bahawa Allah tidak perlu kepada penyeksaan diri manusia yang tiada asasnya dalam agama yang mulia lagi suci ini. Bersyukurlah dengan nikmat Islam yang sempurna dan mudah untuk diamalkan. Dengan bersyukur Allah akan tambah kurniaan-Nya kepada kita. Wallahu a’lam
_________________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

