UMNO 79 tahun: Parti keramat ini akan terus diuji

Dari Penulis

OLEH: SHAHBUDIN EMBUN

SEMALAM, 11 Mei 2025, genaplah 79 tahun penubuhan UMNO, sebuah parti keramat yang dilahirkan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan kedaulatan negara serta memperjuangkan kemerdekaan serta memperkasa agama Islam di negara kita.

Sejak penubuhan UMNO, parti ini juga telah melalui pelbagai episod yang menjadikannya sebagai salah satu lipatan sejarah yang penting. Kita tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan oleh UMNO dalam pembinaan negara Malaysia.

Parti ini sentiasa memberikan perhatian kepada bidang ekonomi, pendidikan serta pembangunan yang menyeluruh, tidak kira bagi yang menetap di luar bandar mahupun yang mencari rezeki di bandar.

Dan selama 79 tahun penubuhan, UMNO tidak lari daripada pelbagai ujian dan merasai jatuh bangun sebagai sebuah parti. Dalam hal ini, kemenangan yang cemerlang juga merupakan satu ujian, iaitu bagaimana untuk mempertahankannya.

Kekalahan yang dirasai pula merupakan ujian yang perit, iaitu bagaimana hendak kembali bangkit dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Semuanya ini telah dilalui oleh UMNO dan pastinya UMNO akan berdepan dengan pelbagai lagi ujian yang perit dan mencabar. Itu sebabnya UMNO hari ini memerlukan kepimpinan yang kuat dan tegas seperti Presiden UMNO hari ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan beliau semasa meraikan ulang tahun ke -79, Ahmad Zahid dengan tegas menjelaskan bahawa, “Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran seperti perpecahan, persepsi, politik fitnah dan gelombang perubahan, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya.

Bahkan hari ini, UMNO kembali menjadi tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia

Kata-kata yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid ini menampakkan keyakinan UMNO dalam menghadapi pelbagai lagi ujian dan cabaran yang bakal UMNO hadapi, khasnya daripada musuh-musuh politik yang begitu mencemburui kejayaan UMNO yang kini sedang bangkit daripada kejatuhan dengan penuh bergaya.

Ahmad Zahid telah mengenalpasti dan menggariskan beberapa cabaran yang harus ditangani UMNO.

Pertama, bagaimana UMNO perlu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan parti, setelah gelombang persepsi negatif, fitnah dan pembohongan telah berjaya disemai sejak PRU-14 lagi.

Kedua, bagaimana kita mesti mengukuhkan kembali kekuatan dalaman parti yang telah dilukai oleh perpecahan dan pengkhianatan — satu tuntutan yang menagih hikmah dan kebijaksanaan, bukan emosi yang membakar diri.

Selain itu, UMNO juga berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu tiada lagi parti dominan yang boleh memerintah seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Baca artikel lain: UMNO jangan jumud berdepan landskap politik kian mencabar – Presiden

Dan sebagai salah sebuah parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak boleh bersifat statik, dan mesti berani menyesuaikan diri dengan pendekatan dan strategi yang segar, seiring dengan realiti politik hari ini.

Kata-kata Ahmad Zahid ini perlu dihayati oleh setiap ahli UMNO. Janganlah penghayatan ini hanya berlaku ketika dalam dewan. Yang lebih penting ialah mengambil ikhtibar dan melaksanakan apa yang diminta oleh Presiden UMNO.

Secara keseluruhannya, antara intipati yang kita boleh rumuskan dalam isi kandungan ucapan Ahmad Zahid ialah bagaimana UMNO perlu sentiasa relevan supaya perjuangan parti diteruskan oleh generasi hari ini dan akan datang.

Ahli UMNO tidak boleh selamanya mendabik dada dengan kejayaan sejarah lampau. Segala kejayaan lalu perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk obor api UMNO sentiasa menyala dan diteruskan oleh generasi akan datang.

Itu sebabnya Ahmad Zahid telah meminta semua ahli terutama generasi muda untuk terus menyemarakkan semangat juang dan bangkit bersama parti. Beliau telah menyentuh tentang generasi pengundi baharu iaitu Gen Z dan Alpha, yang pastinya mempunyai sudut pandang yang berbeza, dan bukan lagi dipengaruhi oleh retorik dan naratif lama yang semakin tidak popular dan tidak relevan lagi.

Bagi penulis, ucapan serta pandangan Ahmad Zahid ketika ditanya oleh wartawan dan semasa beberapa program yang diatur oleh pihak penganjur menampakkan yang beliau begitu yakin dengan masa depan UMNO.

Bahkan isu-isu yang digunakan oleh pihak musuh seperti kerjasama dengan DAP juga telah dijawab dengan baik oleh Ahmad Zahid.

Dan untuk merealisasikan keyakinan itu, beliau mesti mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada semua peringkat UMNO.

Tidak ada gunanya ucapan yang penuh semangat sekiranya ahli UMNO tidak melaksanakan apa yang disaran oleh Presiden.

Akhir kata, UMNO haruslah sentiasa memperbaharui tekad supaya dapat terus memainkan peranan utama memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan progresif.

Penulis adalah Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Kerajaan Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This