PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 secara terus di hadapan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala di Kremlin, semalam.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan itu merupakan ruang penting untuk Malaysia mendapatkan penjelasan terus daripada Kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO.
“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.
“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar tiba di Moscow pada Selasa untuk lawatan rasmi empat hari sebelum meneruskan segmen kedua lawatan ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.
Lawatan rasmi itu adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Untuk rekod, ICAO kelmarin memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan kerajaan Belanda.
ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.
Dalam kenyataan itu, kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 dan ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, hakim-hakim Belanda mensabitkan dua lelaki Russia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran mereka atas tuduhan membunuh di atas peranan mereka dalam serangan berkenaan.
Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’ dan berkata, ia tidak akan mengekstradisi warganegaranya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

