“Aiyyaaa… lu punya gambar semua tak jadi woo…”

Dari Penulis

MALAM itu, Ambo keluar bersama Jank, kawan sekerja untuk makan malam. Sebaik selesai memesan makanan, Ambo perasan ada empat orang perempuan duduk di meja sebelah.

Walaupun makanan yang mereka pesan sudah sampai, tapi mereka belum menyentuhnya. Apa yang mereka buat, keluarkan telefon dan mengambil dulu gambar makanan. Selesai memuat naik di laman sosial, barulah mereka mula makan.

Baru beberapa suap menjamah hidangan, mereka sibuk pula berselfie. Buat gaya begitulah, beginilah. Macam-macam. Jank menggeleng kepala melihat telatah mereka.

“Sekarang ni senangkan nak ambil gambar. Tak macam zaman dulu-dulu,” kata Ambo.

“Zaman dulu orang kaya je yang boleh ambil gambar ni. Bukan semua ada kamera. Mahal harganya. Bukan macam sekarang,” balas Jank.

Ambo pantas mengangguk. Cuba ingat zaman kita membesar dahulu, bukan semua orang mampu membeli kamera. Orang-orang yang berduit je boleh beli kamera ni.

Kalau nak ambil gambar pun kena ambil yang penting-penting je. Kalau tak penting jangan ambil. Maklumlah dahulu pakai filem atau kita panggil ‘kodak’. Kodak ni bukan murah harganya. Mahal juga.

Ada kodak 12 keping, 24 keping, dan 36 keping. Kalau hendak ambil gambar sikit-sikit beli je yang 12 keping. Tapi rasa tak berbaloi pula. Nak tak nak kena beli yang 36 keping. Tapi harganya boleh tahan juga. Kena tengok jenisnya juga. Kalau tak silap Ambo, jenama Kodak paling mahal berbanding Konica atau Fujifilm.

Kalau dahulu, hendak ambil gambar keluarga mesti pergi ke kedai Cina gambar. Maklumlah dahulu mana ada kamera macam sekarang. Tersalah ambil kan tak elok pula. Nak cantik dan elok kena pakai juru foto yang berpengalaman. Siapa ada pengalaman macam ni?

Dahulu, zaman sekolah kan selalu ada lawatan ataupun perkhemahan. Waktu ini siapa yang ada kamera, dialah paling ramai kawan. Kan! Ada saja yang duduk rapat. Yelah, kamera sendiri tak ada, kenalah ikut orang yang ada kamera. Barulah ada gambar.

Dah ambil gambar tu bukan dapat tengok terus. Kena tunggu filem itu dicuci dahulu di kedai gambar. Hendak cuci gambar ni pun satu hal. Bukannya murah. Kalau ada bajet boleh cuci terus, tapi kalau tak ada, simpanlah filem itu. Kadang-kadang berbulan-bulan tidak cuci lagi. Tapi filem ni pun tak boleh disimpan lama-lama. Katanya masuk angin. Gambar akan rosak.

Kalau dah masuk kedai pun bukan boleh dapat terus, mahu dalam dua tiga hari gak. Waktu ni lah kita boleh pilih gambar saiz apa nak dicuci. 3R, 4R, 16R, dan berapa besar yang kita nak. Biasanya kalau cuci filem yang 36 keping, kedai akan bagi free sekeping gambar 16R. Kita boleh pilih gambar yang mana untuk dibesarkan.

Waktu tunggu gambar memang mendebarkan. Maklumlah takut gambar yang diambil tidak elok. Kadang-kadang kalau tersalah pasang filem, gambar akan jadi putus kepalalah, gambar jadi gelaplah, blurlah dan macam-macam. Gambar yang last-last biasanya akan jadi begitu. Betul tak?

Lepas dah cuci tu, negatif filem perlu disimpan. Manalah tahu kut-kut ada kawan-kawan yang minta. Filem boleh dicuci berkali-kali. Kalau gambar asal hilang, boleh dicuci lagi.

Ambo masih ingat satu pengalaman yang berlaku zaman sekolah dahulu. Waktu itu kawan Ambo ni ada seorang kekasih. Ketika itu kalau nak jumpa kekasih hari Sabtu je. Malam sebelum itu, kawan Ambo ni gelisah. Katanya mana nak cari kamera. Esok nak dating, tapi kamera tak ada.

Malam tu, Ambo teman kan dia call kawan-kawan yang mana ada kamera. Macam-macam alasan yang diberikan. Bukan senang hendak bagi orang pinjam kamera ni. Harga pun mahal. Kalau rosak macam mana. Tapi dia gigih juga mencari. Akhirnya dapatlah juga daripada seorang kawan. Itu pun dia bagi kamera yang paling murah sekali.

Ala, kamera yang kena pusing dulu sebelum tekan tu. Ingat tak? Tapi tak mengapalah, janji ada kamera.  Keesokan harinya, sebelum ke tempat dating, kami singgah dahulu membeli filem. Beli pula yang 36 keping tu. Dia meminta penjual kedai memasukkan filem itu, tapi kata penjual filem itu dia tidak pandai. Tauke kedai pula keluar.

Jadi disebabkan hendak cepat, kawan Ambo itu memasukkan sendiri filem yang dibeli ke dalam kamera. Sebelum tu Ambo dah cakap, kalau tak pandai jangan pasang. Takut nanti salah pasang. Tapi disebabkan terdesak nak kejar masa, terpaksalah masukkan sendiri juga.

Sudah ada kamera, memang tak menang tanganlah bergambar.

Klik! Klik! Klik!

Ambolah yang menjadi tukang ambil gambar. Posing sana, posing sini. Macam-macam gaya. Kamera dulu pula bukan boleh ambil cepat-cepat. Bila dah ambil sekali, kena tunggu sampai lampu bertukar hijau baru boleh ambil balik. Kalau tak, flash tak keluar. Gambar akan jadi gelap. Kan!

Petang tu juga kawan Ambo itu habiskan 36 keping gambar. Disebabkan mahu menghabiskan filem, gambar kucing pun diambilnya. Yelah tak sabar hendak lihat gambar-gambar yang diambil.

Dua hari lepas tu, pagi-pagi dia dah terpacak depan kedai Cina untuk ambil gambar. Tak sabar nak bingkaikan gambar tu di bucu katil tidur.

“Aiyaaa… Adik, lu punya gambar semua tak jadi wo. Lu salah masuk filem. Semua gelap wo. Apa macam boleh jadi itu macam?” kata Cina tu.

Bayangkan perasaan kawan Ambo masa tu. Punyalah dia kecewa. Balik rumah sewa, dia menangis sorang-sorang dalam bilik. Gambar yang diambil semua tak jadi. Kalau satu dua keping tak jadi boleh terima lagi. Ini sampai semua sekali. Dengan gambar kucing pun tak jadi. Ha ha ha…

Memang mencabar waktu tu. Bukan macam sekarang. Main petik je boleh tengok terus. Itu yang 24 jam duduk bergambar. Tidur pun ambil gambar, makan pun ambil gambar, bawa kereta pun ambil gambar. Dulu mana ada macam tu. Waktu betul-betul dah posing je baru boleh petik punat kamera. Kalau tak, mahu kena maki dengan kawan.

Itulah kenangan kita membesar bersama kamera dulu-dulu. Sangat susah hendak bergambar dahulu. Kalau hendak ambil gambar mesti perlu berhabis duit. Tidak seperti sekarang ini. Sebab itulah gambar dulu-dulu sangat berharga berbanding sekarang. Simpan dalam album sebagai kenangan.

Sekarang ini semua gambar disimpan dalam telefon mahupun komputer. Kalau hilang atau rosak, semuanya akan hilang sekelip mata. Tapi dulu, semua gambar akan disimpan rapi dalam album dan diletakkan di dalam rak.

Kalau album itu masih ada sekarang ini, apabila dibelek kembali, menjadikan satu memori yang sangat indah. Kita pasti akan tersenyum sendirian mengenangkan zaman itu. Kodak oh Kodak. – Ambo, Kota Bharu, Kelantan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This