OLEH: KAMAL SHUKRI A.S
MENGIKUT pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini, sekolah rintis bangsa Johor mahu menjadikan “Primary School Leaving Certificate” (PSLC) dan International General Certificate of Secondary School (IGCSE) yang diambil oleh pelajar Singapura sebagai penanda aras.
Tujuannya untuk meningkatkan mutu pendidikan khususnya di negeri Johor. Kita berharap pihak terlibat di negeri Johor turut merujuk dan berbincang dengan Menteri Pendidikan dan kementeriannya di Putrajaya kerana jika ada yang baik, negeri yang lain ingin juga mempertingkat mutu pendidikannya.
Langkah untuk mempertingkat mutu pendidikan untuk negara atau mana-mana negeri merupakan usaha yang sangat baik dan patut dipuji. Selama ini peperiksaan SPM turut dilihat sebagai petunjuk kejayaan pendidikan di negara kita. Untuk berjaya banyak usaha dan cara yang boleh dilakukan.
Antaranya ialah meniru sesuatu yang baik sama ada contoh atau model dari luar negara atau dalam negara. Peniruan juga ada pelbagai cara sama ada peniruan bulat-bulat sepenuhnya tanpa sebarang ubah suai, peniruan sebahagian model sahaja atau peniruan dengan pengubahsuaian misalnya meniru sesuatu program berprestij tetapi diberikan sentuhan lokal atau pribumi agar sesuai dengan budaya dan jati diri tempatan.
Peniruan juga boleh dibuat dengan menggabung yang terbaik daripada beberapa negara atau model pendidikan. Cuma kita perlu berhati-hati. Tidak semua yang dari luar itu baik seratus peratus dan perlu diambil semuanya.
Misalnya jika buku teks luar ditiru seratus peratus maka wujudlah contoh yang tidak wujud di sini atau tidak sesuai dengan budaya negara kita kerana jati diri dan acuan kita tetap berbeza. Contoh mudah, setidak-tidaknya budaya dan bahasa negara Singapura tidak sama dengan Malaysia.
Misalnya, kita tidak perlu sehingga mengorbankan bahasa penghantar pendidikan lalu menggunakan bahasa Inggeris kerana melihat Singapura menggunakan bahasa Inggeris.
Kita nampak Singapura maju sedangkan dalam masa yang sama kita lupa berpuluh-puluh lagi negara besar dengan penduduk yang berpuluh juta maju juga walaupun menggunakan bahasa sendiri, bukan dengan bahasa Inggeris.
Contoh jelas dan klasik ialah Dasar PPSMI yang dilaksanakan sebelum ini secara terburu-buru jelas gagal dan memberi malapetaka besar kepada pelajar dan masih terkesan hingga kini. Jurusan sainslah yang terkesan dengan jumlah pelajar yang berkurangan dan membimbangkan.
Peningkatan kemajuan subjek bahasa Inggeris pelajar pula sekadar kira-kira empat peratus dalam tempoh kira-kira tujuh tahun, tidak berbaloi dengan ratusan juta ringgit yang telah dilaburkan.
Singkirkanlah segera minda kita yang telah tertawan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Janganlah lupa atau pura-pura tidak tahu bahawa bahasa Inggeris juga dulunya hanya bahasa petani yang dibenci bangsanya sendiri berbanding bahasa bangsawan, Latin dan Perancis.
Nasib baiklah ada rakyat Inggeris di sana yang insaf dan berani berjuang mengangkat bahasa tersebut. Jika tidak, mungkin kita pun terpaksa hidup bagai dalam lingkungan mahkamah, menggunakan terma dan istilah Latin yang banyak dalam bidang perundangan.
Sebagai sebuah negara kota kosmopolitan, logiklah bagi Singapura mengikat perpaduan rakyatnya yang cuma tiga juta orang dengan bahasa Inggeris. Ini jelas berbeza dengan negara kita yang telah lama dilingkari tamadun berbahasa dan budaya Melayu sejak zaman silam sehingga menjelang kemerdekaan dengan imigran ketika itu melalui prinsip “jus soli” memilih untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negeri baharu mereka untuk didiami dengan menerima segala syarat yang termaktub dalam Perlembagaan.
Jika meniru misalnya negara jiran atau mana-mana negara pun kita perlu berhati-hati. Kita perlu jelas apa yang hendak ditiru, yang perlu ditiru? Kaedahnya, pedagoginya, kurikulumnya atau apa? Adakah kesemuanya atau sebahagian sahaja?
Adakah kurikulum pendidikan negara kita terlalu buruk? Jika sistem pendidikan kita terlalu buruk (?) bagaimanakah selama ini Malaysia adalah antara negara “pembekal” terbanyak pelajar ke universiti di seberang laut, Amerika, Eropah, Asia Barat, Jepun, Korea, Rusia dan lain-lain? Mereka juga banyak yang cemerlang dan kerap menggondol pelbagai anugerah universiti dan sebagainya.
Memang jelas kelihatan orang kita jarang mahu mengiktiraf keupayaan milik sendiri walaupun bermutu tinggi. Lihat sahaja misalnya karya agung kesusasteraan Melayu kita, Hikayat Hang Tuah hanya diiktiraf oleh cendekiawan kita sendiri setelah sarjana barat seperti Profesor Dr A. Teeuw dari Belanda membicarakan dan mengiktiraf epik kepahlawanan Hang Tuah tersebut sebagai karya klasik yang agung, penuh falsafah dan “welstanchuung” alam Melayu.
Baca artikel lain: Begitu rendah nilai ekonomi Bahasa Melayu?
Merujuk bahasa penghantar pendidikan, Singapura menggunakan bahasa Inggeris atas alasan yang amat munasabah dan wajar. Adakah kita juga perlu atau wajib menggunakan bahasa Inggeris? Bahasa rasmi Singapura ialah Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Walaupun begitu penggunaan bahasa Inggeris jelas lebih meluas berbanding Mandarin dan khasnya bahasa Melayu yang lebih bersifat “simbolik” sahaja. Penduduk Singapura juga majoriti keturunan Cina dan minoriti ialah Melayu, India dan Serani.
Daripada keseluruhan penduduk Singapura yang berjumlah 5.9 juta orang, etnik Melayu cuma kira-kira lima peratus sahaja. Lebih daripada 90% penduduknya menganut agama bukan Islam serta tanpa agama.
Justeru jelas etnik Melayunya amat sedikit dan sekali gus menjadikan penggunaan bahasa Melayu sangat terhad. Apatah lagi bahasa Melayu bukan bahasa penghantar pendidikan di sana. Penggunaan bahasa Inggeris yang amat meluas melebihi 90% menjadikan faktor hanya bahasa Inggeris yang paling sesuai dan logik untuk mereka gunakan sebagai bahasa penghantar pendidikan.
Itupun telah pernah dilontarkan kerisauan hasil dapatan kajian oleh seorang profesor di Nanyang University yang menunjukkan kesan penggunaan bahasa Inggeris telah berjaya mengikis jati diri rakyat Tionghua di sana. Dapatan kajian mendapati anak muda Singapura menyesal dilahirkan sebagai Tionghua dan berharap dilahirkan sebagai bangsa Eurasian.
Isu bahasa Inggeris di sana amatlah berbeza dengan negara kita Malaysia. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan sejak merdeka. Sejarah bahasa Melayu telah mengakar dan membumi di Tanah Melayu, di nusantara ini sejak abad keempat masihi lagi. Begitu juga dengan peradaban dan budayanya.
Justeru amat tidak logik dan aneh sekali jika bahasa Inggeris juga “ditiru”, dijadikan sebagai bahasa penghantar pendidikan di sini.
Majoriti penduduk Malaysia juga Melayu, orang asli dan bumiputera Sabah Sarawak sahaja sudah berjumlah kira-kira 70% daripada 34 juta penduduk umumnya fasih berbahasa Melayu selain keturunan Cina dan India juga yang turut mengikuti persekolahan yang berpenghantar bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga subjek wajib di sekolah yang tidak berpengantar bahasa Melayu.
Hal ini pastinya berbeza sekali berbanding realiti di Singapura. Berpada-padalah pemimpinku! Tiru cakap enggang makan buah belolok, tiru cakap orang terjunlah masuk lubuk!
Jika pendidikan di Amerika, Britain, Australia yang ditiru patutkah ditiru bahasa penghantarnya sekali?. Atau jika pendidikan negara Jepun, Korea, Turkiye, Finland yang ditiru, adakah kita juga perlu dan wajib menggunakan bahasa Nihongo, Korea, Turkiye atau Finnish sebagai bahasa penghantar pendidikan di sekolah dan universiti kita?
Satu hal yang perlu diberi perhatian juga, pendidikan adalah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan kecuali pendidikan agama Islam terutama berkenaan dengan bahasa penghantar.
Kuasa dan tanggungjawab Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan wajib dihormati dan dirujuk sebelum keputusan dibuat. Menteri dan Kementerian bukanlah umpama tunggul mati untuk dilangkah.
Eloklah Menteri Pendidikan dan kementeriannya dirundingi. Banyak pakar pelbagai bidang pendidikan, subjek, kurikulum, pedagogi dan lain-lain dalam lebih 30 bahagian di Kementerian Pendidikan yang boleh dirujuk dalam hal berkaitan.
Kisah sebuah negeri yang telahpun membelakangi Menteri Pendidikan dan kementeriannya dengan membuat keputusan berkaitan dasar yang bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Negara dan dasar utama pendidikan.
Misalnya pengiktirafan UEC, (program DLP) yang jelas boleh memberi petunjuk yang kurang sihat sebagai anggota Persekutuan Malaysia, seolah-olah tiada keperluan lagi untuk menghormati menteri, kementerian, dasar serta undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Kementerian Pendidikan juga wajiblah patuh dengan Dasar Pendidikan Negara dan tidak menjadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus agar kewibawaannya tidak terjejas.
Sesuatu dasar atau program wajib diteliti sebelum dilaksanakan agar tidak bercanggah dengan mana-mana dasar, undang-undang, akta dan Perlembagaan dan boleh menjejaskan pelajar serta bahasa kebangsaan.
Tidak dinafikan wujudnya Perjanjian Malaysia 1963 tetapi adakah termanya boleh mengatasi fasal-fasal dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini?
Apa yang kita maklum, fasal dalam Perlembagaan negeri pun akan terbatal jika bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka Pejabat Peguam Negara dan penasihat undang-undang haruslah sentiasa dapat memberi nasihat segera kepada semua pihak yang terlibat demi kebenaran dan keadilan.
Tanpa penjelasan, gambaran yang terlihat ialah seolah-olah ada negeri yang lebih berkuasa daripada Kementerian di Putrajaya. Penasihat Undang-undang negeri dan kementerian hendaklah sentiasa proaktif, bersedia menasihati kesemua pihak yang terlibat agar Perlembagaan, akta dan undang-undang dipatuhi dan dihormati sebagai teladan bagi rakyat terbanyak.
Sebarang ketidakpatuhan undang-undang berisiko mengundang kesan yang tidak sihat dalam jangka panjang. Semoga tidak berulang seperti isu antara syarikat nasional Petronas dengan Petros yang sedang diperkatakan oleh banyak pihak dan tokoh dalam media sedangkan hal tersebut sebenarnya dapat dirundingi dengan baik.
Malangnya jika tersalah langkah maka yang menang dan kalah akan menjadi abu dan arang dan seterusnya negaralah juga yang akan kerugian.
Kemerdekaan pada 1957 dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak melalui persepakatan dan persefahaman kesemua pihak melalui perundingan dan juga termaktubnya Perlembagaan Persekutuan.
Justeru roh dan semangat Perlembagaan wajiblah dipatuhi kesemua entiti demi kebersamaan sebagai sebuah Persekutuan dalam semua bidang termasuk pendidikan yang menjadi tonggak utama kemajuan sesebuah negara dan bangsa.
Tidak mungkinlah dasar pendidikan sesebuah negeri dalam Persekutuan berdiri secara terasing, berbeza dengan negeri yang lain. Bayangkanlah jika semua 14 buah negeri juga mahu melaksanakan sistem dan dasar pendidikan tersendiri meniru beberapa negeri yang berbeza yang kononnya baik untuk negerinya, apakah lagi maknanya kesatuan federalisme dan perpaduan bagi sebuah negara Persekutuan Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah?
Ibarat walaupun kita tidur sebantal tetapi mimpinya masih berbeza. Alangkah baiknya seperti melihat seberkas penyapu lidi yang nampak teguh dan berkualiti berbanding melihat kehijauan enau dalam belukar yang begitu egois melepaskan pucuk masing-masing.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

