PEMPENGARUH yang terkenal dengan gelaran CEO Batu dibebaskan dengan jaminan polis selepas berada dalam tahanan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej tidak senonoh terhadap seorang remaja bawah umur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan berhubung kes itu kini sedang dilengkapkan oleh pihaknya.
“Dia dibebaskan dengan jaminan hari ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sebelum ini polis dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa suspek itu melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang lagi individu lain.
Dakwaan bahawa terdapat seorang lagi mangsa itu didedahkan oleh penyanyi dan pempengaruh, Caprice menerusi tangkap layar kiriman mesej yang dimuat naik olehnya di laman Instagram.
Siti Kamsiah berkata, siasatan ketika ini tertumpu kepada kes dilaporkan.
Jumaat lepas, UtusanTV melaporkan CEO Batu ditahan selepas menyerahkan diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak susulan ilaporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa.
Siasatan awal polis mendapati suspek telah menghantar beberapa imej dan mesej yang berunsur lucah kepada mangsa sejak awal Mei lepas.
Nama CEO Batu meniti di bibir netizen apabila Caprice mendedahkan beberapa tangkap layar kiriman mesej yang dihantar oleh lelaki itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di laman Instagramnya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

