KOMPOSER dan penulis lirik popular, Saari Amri, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada gitaris kumpulan Barbarik, JoBranko susulan mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan dalam sebuah sesi temu ramah, baru-baru ini.
Saari dalam temu bual yang disiarkan di platform YouTube bertajuk “Sembang Pantai Timur – Saari Amri Pernah Kena Khianat Hilang Syarikat Rakaman”, yang diterbitkan oleh THR pada 12 Jun lalu.
Saari telah menyebut nama JoBranko nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir sebagai individu yang terlibat dalam isu pembelian premis atau studio rakaman.

“Saya secara khilaf telah menyebut nama JoBranko dalam temu bual tersebut, walhal dia langsung tidak tahu menahu dan tidak terlibat dalam isu yang saya ceritakan.
“Saya amat kesal dan mohon maaf secara terbuka kepada Jo serta semua pihak yang terkesan akibat kekhilafan saya itu,” katanya.

Tambah Saari, kenyataan tersebut dibuat secara tidak sengaja tanpa niat untuk memfitnah atau mengaibkan mana-mana individu.
Saari juga menjelaskan bahawa sejak mengalami kemalangan serius pada 1997, dia kadang kala menghadapi kesukaran mengingati fakta yang tepat.
“Diakui selepas saya mengalami kemalangan, saya selalu terlepas cakap tanpa memikirkan kesahihan kata-kata saya.
“Saya amat menghargai keikhlasan JoBranko yang sudi menerima permohonan maaf saya dan memilih untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
“Saya berharap kenyataan ini dapat menghentikan sebarang spekulasi serta menjaga nama baik dia sebagai anak seni yang dihormati,” ujarnya.
Sementara itu, peguam kepada JoBranko, Colin Victor George, menjelaskan bahawa pihaknya telah membuat semakan terperinci terhadap kenyataan tersebut dan mendapat pengesahan daripada pihak ketiga bahawa dakwaan yang dikaitkan dengan JoBranko adalah tidak berasas.
“Kami telah meneliti rakaman temu bual dan mendapatkan bukti berkaitan daripada pihak ketiga.
“Hasil siasatan kami mendapati JoBranko tidak pernah terlibat dengan mana-mana urusan pembelian premis atau studio seperti yang dinyatakan.
“Selepas perbincangan, Saari mengakui kekhilafannya dan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala JoBranko pula menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka,” katanya.
Colin turut memberi peringatan tegas kepada orang awam, terutamanya pengguna media sosial, agar lebih berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berbentuk fitnah.
“Kami sedang memantau kenyataan-kenyataan fitnah yang berlegar di media sosial dan telah mengenal pasti beberapa individu yang membuat kenyataan atau komen di media sosial yang mengaibkan JoBranko dan tindakan sewajarnya sudah diambil.
“Penyebaran fitnah bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, malah mencemarkan nama baik individu yang tidak bersalah,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

