UNGKAPAN ‘suara rakyat, suara keramat’ kerap kali ‘didendangkan’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu memimpin gerakan reformasi menentang pentadbiran dahulu.
Kini, ungkapan itu digunakan semula Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Anwar bagi mendesak Perdana Menteri berundur daripada jawatan itu.
Dalam hantaran di Facebook, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung di ibu negara, semalam telah menyampaikan mesej yang kuat dan jelas kepada Anwar serta Kerajaan MADANI.
“Jangan berbohong kepada rakyat. Jangan zalim kepada rakyat. Jangan pandang enteng suara rakyat.
“Dulu kamu kata suara rakyat, suara keramat. Kini suara keramat rakyat sedang bergema di gegendang telinga kamu.
“Dengan suara rakyat baik-baik. Rakyat mahu kamu turun!,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti kekuatan, kematangan demokrasi sebenar era MADANI – Adam Adli
Sementara itu, Muhyiddin turut menyifatkan himpunan ‘Turun Anwar’ itu berjaya diadakan dalam keadaan terkawal dengan tiada perkara tidak diingini berlaku.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah menggunakan hak kebebasan untuk berhimpun secara aman dengan penuh tertib.
“Tahniah kepada Pemuda PN, badan-badan bukan kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini yang telah berjaya menghimpunkan lautan manusia dan mengurus acara dengan teratur walaupun banyak cabarannya.
“Terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan, Briged Armada, Jabatan Amal Malaysia dan semua pihak yang terlibat menjaga keselamatan para peserta himpunan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 18,000 orang dilapor menghadiri himpunan ‘Turun Anwar’ yang ditunjangi blok pembangkang, semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

