PENYANYI muda berbakat besar, Wani Kayrie, melakar satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya dengan pelancaran EP sulung bertajuk “W2K”, yang diumumkan secara rasmi dalam acara eksklusif “Wani Kayrie Listening Party” di MyTOWNKL, dengan kerjasama ASR Festival oleh Ascott.
Majlis anjuran Rocketfuel Entertainment itu turut menyaksikan pelancaran single terbaharu Wani berjudul “Biarkan”, sebuah balada emosional yang memperlihatkan sisi lebih matang dan penuh ekspresi dalam perjalanan seninya.

“Akhirnya setelah sekian lama, saya dapat hadiahkan album mini ini kepada semua yang setia menanti.
“EP ini bukan sekadar muzik, ia adalah satu pencapaian yang amat bermakna,” kata Wani dalam sesi sidang media, penuh rasa terharu.
“W2K”: Nama, Aspirasi dan Cerminan Jiwa Anak Muda
Menjelaskan makna di sebalik tajuk W2K, Wani menyatakan bahawa ia merujuk kepada “Wani to the millennium”, merangkumi simbolik tahun kelahirannya, 2000, serta refleksi fasa baharunya sebagai penyanyi.
“Saya mahu EP ini relevan dan dekat dengan jiwa generasi saya. Lagu-lagunya berbeza antara satu sama lain, dari vibe hingga genre, inilah sisi pelbagai saya sebagai penyanyi,” jelas Wani, yang turut menyentuh tentang pengaruh trend Y2K dalam gaya dan konsep album ini.
5 Lagu, 5 Nuansa, 5 Cerita

EP W2K memuatkan lima buah lagu yang memperlihatkan pelbagai emosi dan genre:
- Cak Cak Cekuk
- Serius Ah
- Aiman Tino
- Matahari
- Biarkan
Kesemua lagu ini diterbitkan oleh barisan komposer dan penulis lirik terkenal tanah air seperti Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, Shazriq Azeman, MFMF, Ezra Kong, Shane Kennedy dan Karim Karam menjadikan W2K sebagai koleksi karya yang segar dan dinamik.

“Saya suka lagu Cak Cak Cekuk kerana ia bertenaga dan ada elemen budaya.
“Lagu ini buat saya rasa yakin, po sitif, dan terhibur,” ujar Wani apabila ditanya tentang lagu kegemarannya.
“Biarkan”: Lagu Tentang Melepaskan dan Menyembuhkan
Dalam masa sama, Wani turut memperkenalkan single balada terbaharunya, Biarkan, yang berkisar tentang melepaskan cinta yang sudah tidak lagi sihat, walaupun masih ada rasa sayang yang berbaki.
“Kadang-kadang, ‘biarkan’ adalah cara terbaik untuk sembuh. Lagu ini sangat peribadi dan proses rakamannya agak mencabar kerana saya perlu kekalkan emosi yang sama walaupun dirakam pada hari berbeza,” katanya.

Simbol Transisi dan Evolusi Muzikal
Wani turut menyifatkan pelancaran EP ini sebagai simbol transisi penting dalam kerjayanya sejak kemunculan pertama sekitar satu dekad lalu menerusi lagu Jangan Jangan.
“W2K adalah fasa baharu saya, dari konsep, gaya hingga genre muzik. Ia untuk peminat yang mengikuti saya dari awal, dan juga buat pendengar baharu yang baru hendak kenal Wani Kayrie,” jelasnya.
Reaksi awal daripada peminat juga sangat positif, dan Wani berharap lagu-lagu dalam EP ini akan menjadi pilihan utama dalam senarai main (playlist) harian para pendengar.

Menutup sidang media dengan harapan, Wani berpesan kepada anak muda yang punya impian agar berani mencipta ruang sendiri.
“Saya harap W2K bukan sekadar hiburan, tapi jadi inspirasi. Kalau saya boleh capai impian ini, anda pun boleh. Percaya dan teruskan,” katanya penuh makna.
EP W2K dan single Biarkan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi bermula 25 Julai.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

