PELAKON, pengacara dan usahawan, Zoey Rahman tampil memberikan peringatan buat kaum lelaki muda yang gemar bergaya dengan seluar ketat atau potongan slim fit, yang kini menjadi trend dalam dunia fesyen.
Menurut selebriti yang juga pengasas produk Mika Series itu, walaupun dia tidak menolak untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa, soal kesihatan alat sulit lelaki tidak seharusnya dipandang ringan.
“Zaman sekarang, stail hipster memang jadi kegilaan ramai lelaki muda. Saya sendiri pun ikut trend, tapi saya jarang pakai seluar ketat kerana saya pentingkan keselesaan dan kesihatan,” jelas Zoey jujur.
Zoey yang dikenali sebagai figura yang mementingkan gaya hidup sihat berkata, walaupun bukan seorang doktor, dia sering mendapatkan ilmu kesihatan daripada pakar dan suka berkongsi info yang berguna dengan pengikutnya.
“Saya selalu hadiri program kesihatan dan ikuti doktor-doktor di media sosial.
“Memakai seluar ketat boleh tingkatkan suhu testis, ganggu salur darah, dan buat kulit jadi iritasi atau dijangkiti kuman. Ramai yang tak sedar risiko ni,” tambahnya.
Dalam satu perkongsian video di TikTok, Dr Afif Mohd Ridzwan yang merupakan doktor perubatan dan penceramah kesihatan lelaki, menyokong kenyataan Zoey dengan menjelaskan kesan serius pemakaian seluar terlalu ketat terhadap kesihatan reproduktif lelaki.
“Suhu badan kita 37 darjah selsius, tapi testis perlukan suhu lebih rendah, sekitar 35 darjah selsius.
“Bila pakai seluar ketat, testis rapat dengan badan dan suhu boleh naik. Itu boleh ganggu penghasilan sperma, dan seterusnya boleh sebabkan kemandulan,” jelasnya yang juga CEO Pusat Rawatan Al Farhain.
Menurutnya lagi, tekanan pada saraf dan salur darah zakar boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang, jika tidak diberi perhatian.
Dr Afif turut memberi beberapa tips kesihatan mudah tapi penting:
✔ Elakkan pakai seluar ketat ketika tidur
✔ Gunakan kain sarung atau boxer untuk pengudaraan yang baik
✔ Jika perlu pakai seluar dalam ketat siang hari, pastikan tidak terlalu lama
✔ Sentiasa jaga kebersihan dan keselesaan kawasan sulit
“Testis ni perlukan pengudaraan baik. Kalau terlalu ketat, peluh pun tak kering.
“Itu punca jangkitan. Pakaian longgar lebih baik untuk kesihatan dalaman lelaki,” tegasnya.
Sementara Zoey menutup pesanan dengan mengingatkan anak muda untuk bijak bergaya tetapi dalam masa yang sama, tidak membahayakan tubuh sendiri demi kelihatan ‘in’.
“Fesyen memang penting, tapi jangan sampai rosakkan bahagian sulit kita.
“Kita nak sihat, nak bahagia, bukan saja luar tapi dalam juga,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

