CADANGAN larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 13 tahun bukan sekadar langkah kawal selia, tetapi satu tindakan berani yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan perlindungan digital kanak-kanak.
Antara inisiatif yang telah dilakukan Kerajaan MADANI menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah dengan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan Malaysia dalam menangani risiko siber secara menyeluruh dan berpandangan jauh.
Sebagaimana umum mengetahui, kanak-kanak belum cukup matang dari segi perkembangan kognitif dan emosi untuk memahami serta menolak reka bentuk ketagihan yang dibina dalam platform seperti TikTok, YouTube dan Instagram.
Algoritma yang direka untuk memaksimumkan masa skrin telah terbukti memendekkan daya tumpuan, mengganggu pembelajaran dan membentuk kebergantungan digital yang tidak sihat.
Laporan UNICEF dan Cornell University juga menunjukkan kanak-kanak lebih cepat terdedah kepada kandungan berbahaya berbanding remaja yang lebih dewasa, termasuk kandungan seksual, ekstremisme dan penipuan.
Pendedahan awal kepada media sosial meningkatkan risiko keresahan, kemurungan, harga diri rendah dan pengasingan sosial dalam kalangan kanak-kanak yang masih membina identiti diri.
Perkara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood boleh diibaratkan seperti ‘meninggalkan kanak-kanak bawah 13 tahun secara bersendirian di tengah ibu kota.
Situasi itu kata Mediha, terdapat kemungkinan kanak-kanak itu berjumpa dengan orang yang tidak dikenali, berniat jahat, mungkin ada yang mahu scam dan mungkin ada yang mahu mengambil kesempatan terhadap mereka.
“Semua bahaya di luar ini sebenarnya ada di media sosial. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi bagi saya, ini tanggungjawab bersama kita semua terutamanya ibu bapa.
“Kita perlu prihatin, cakna dengan apa yang berlaku. Memang banyak risiko dalam media sosial. Eksploitasi pemangsa dan ada yang cuba mempengaruhi mangsa,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Mediha berpandangan, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak cakna dengan keselamatan privasi dengan menjadikan anak-anak mereka sebagai bahan kandungan di media sosial.
Katanya, perkara itu amat membimbangkan kerana ada antara anak-anak kecil tersebut dieksplotasi demi kepentingan sendiri sama ada secara sedar mahupun tidak.
Dari segi impak kepada kesihatan mental, kata Mediha, anak-anak tersebut setelah dewasa berkemungkinan akan terkesan dengan kandungan yang dimuatnaik di media sosial oleh ibu bapa mereka.
“Hal ini kerana anak-anak ini apabila membesar, segala kandungan mengenai diri mereka yang didedahkan di media sosial akan menjadi bukti digital.
“Ada individu yang tidak mahu pun perihal diri mereka sewaktu kecil diketahui umum apabila mereka sudah dewasa.
“Saya sarankan ibu bapa berhati-hati apabila memuatnaik kandungan media sosial terutamanya yang melibatkan anak-anak mereka kerana segala imej, suara, bunyi dan video ini boleh disalahguna oleh orang-orang jahat diluar sana,” katanya lagi.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Yusof Zulkefli berkata, larangan kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan media sosial adalah sangat relevan dan disokong oleh kajian perkembangan kanak-kanak dan psikologi digital.
Menurut Mohd Yusof, kanak-kanak pada usia ini masih berada dalam fasa perkembangan kognitif dan emosi yang rapuh, di mana kemampuan mereka untuk membuat penilaian kritikal terhadap kandungan digital masih terhad.
“Justeru, pindaan Akta 588 (2024) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mewajibkan verifikasi umur merupakan inovasi penting dalam kerangka undang-undang Malaysia untuk melindungi kanak-kanak daripada pendedahan awal kepada risiko media sosial seperti ketagihan, gangguan perkembangan minda, dan kesan psikososial negatif.
“Implementasi langkah-langkah ini mencerminkan kesedaran dan komitmen negara dalam memartabatkan keselamatan digital peringkat nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, dari perspektif perkembangan otak dan psikologi, kanak-kanak di bawah 13 tahun belum mencapai tahap kematangan kognitif untuk menguruskan reka bentuk ketagihan yang sengaja direka dalam platform media sosial.
Kata beliau, kajian neuropsikologi menunjukkan bahawa kawasan prefrontal korteks otak, yang bertanggungjawab untuk fungsi kawalan kendiri dan membuat keputusan yang rasional, masih dalam proses matang sehingga awal 20-an.
Oleh itu, katanya, kanak-kanak mudah terjebak dalam tabiat penggunaan berlebihan kerana mereka kurang berupaya mengawal impuls dan menilai risiko potensi.
“Ini menjadikan mereka sangat terdedah kepada kandungan yang sengaja direka untuk mengekalkan perhatian melalui elemen “scrolling tanpa henti” dan pemberian ganjaran psikologi segera (seperti ‘like’ dan komen),” katanya.
Untuk rekod, Kajian UNICEF menunjukkan 4 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 17 tahun mengalami eksploitasi seksual dalam talian dalam tempoh setahun, bersamaan kira-kira 100,000 kes yang tidak boleh dipandang ringan.
Justeru, langkah Malaysia untuk menyelaraskan dasar keselamatan digital dengan amalan terbaik global menunjukkan kesungguhan negara dalam membina ekosistem dalam talian yang selamat dan beretika.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

