PERJANJIAN perdagangan baharu antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat hanya memberi manfaat besar kepada negeri-negeri di Semenanjung.
Demikian pendapat bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee yang menolak perjanjian perdagangan baharu itu.
Katanya, perjanjian yang melibatkan pengecualian tarif dan import berskala besar gas, arang batu dan produk teknologi dari AS itu sekali lagi mendedahkan bagaimana dasar persekutuan mengabaikan peranan ekonomi Sabah dan Sarawak.
Menerusi perjanjian tersebut, Malaysia akan mengimport sehingga lima juta tan gas asli cecair (LNG) dari AS setiap tahun yang bernilai lebih AS$3 bilion, selain pembelian pesawat, tenaga dan produk telekomunikasi bernilai AS$204 juta, termasuk arang batu.
Yong berkata, perjanjian baru itu tidak banyak memberi kesan kepada ekonomi Sabah kerana eksport utama negeri seperti produk kayu, foil tembaga, minyak dan gas, makanan laut serta minyak sawit sudah bebas tarif di bawah perjanjian sedia ada.
“Perdagangan langsung Sabah dengan AS hanya satu peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan, iaitu kira-kira RM1 bilion daripada RM100 bilion. Jumlah eksport Malaysia ke AS adalah RM183 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, kebanyakan keuntungan daripada senarai pengecualian tarif baru akan dinikmati oleh pengeluar farmaseutikal, aeroangkasa dan berteknologi tinggi di Semenanjung Malaysia, bukannya pengeksport kecil atau industri berasaskan sumber di Borneo.
“Tidak menghairankan jika perniagaan di Sabah tidak berkongsi euforia nasional mengenai pengecualian tarif ke atas 1,711 produk Malaysia.
“Perjanjian ini lebih menguntungkan pengeluar besar di Semenanjung Malaysia berbanding mana-mana sektor di Sabah atau Sarawak,” kata Yong.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

