Sadako & Samara, hantu perigi yang dicetuskan daripada legenda seram Istana Himeji

Dari Penulis

Di puncak bukit di bandar Himeji dalam wilayah Hyogo di Jepun, berdiri megah sebuah istana yang indah dan berkait rapat dengan sejarah negara matahari terbit itu.

Istana Himeji juga dikenali sebagai Shirasagiro (istana bangau putih). Namanya terinspirasi daripada dinding putih bersalut plaster yang berkilauan di bawah cahaya matahari, seolah-olah seekor burung bangau yang bersedia untuk terbang.

Dibina pada awal abad ke-17, Himeji merupakan contoh terbaik seni bina istana zaman awal pemerintahan Shogun. Ia terdiri daripada 82 buah bangunan yang disusun secara strategik di atas bukit, merangkumi kawasan seluas 107 hektar.

Reka bentuknya bukan sekadar memukau mata, tetapi turut menampilkan sistem pertahanan yang amat maju untuk zamannya, lengkap dengan menara kawalan, pintu gerbang bertingkat dan laluan rahsia yang mengelirukan musuh.

Istana Himeji.

Selama hampir tiga abad, istana ini berfungsi sebagai pusat pentadbiran feudal sebelum kejatuhan pemerintahan Shogun pada tahun 1868. Walaupun masa telah menghakis sebahagian struktur asalnya termasuk kediaman utama yang musnah dalam kebakaran tahun 1882, bentuk dan keaslian istana ini masih terpelihara hingga kini.

Sejak tahun 1934, kerajaan Jepun telah menjalankan projek pemuliharaan secara berterusan menggunakan teknik tradisional pembinaan kayu. Kawasan sekelilingnya turut dilindungi oleh undang-undang reka bentuk bandar untuk mengawal pembangunan moden agar tidak mencemari pemandangan kawasan istana ini.

Selain terkenal sebagai tinggalan sejarah yang kini menjadi destinasi pelancongan popular dan diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO, istana ini juga dikenali dengan kisah ‘hantu’ tersendiri sehingga diangkat ke layar perak.

Jika anda pernah menonton filem seram Jepun yang popular, The Ring atau Ringu (1998), atau versi Hollywood, naskhah itu diilhamkan daripada kisah seorang pelayan istana Himeji yang dikenali sebagai Okiku. Ya, watak hantu bernama Sadako atau Samara dalam filem itu tercetus daripada kisah Okiku.

Legenda Seram Okiku

Apa kaitan filem itu dengan Istana Himeji?

Di sebalik keindahan istana ini, tersembunyi satu kisah seram yang masih diceritakan secara turun-temurun. Kisah tentang Okiku, seorang hamba di istana itu yang berkhidmat dengan seorang samurai bernama Tessan Aoyama.

Aoyama seorang samurai berpangkat tinggi yang berkhidmat di Istana Himeji. Beliau memiliki 10 pinggan emas yang merupakan simbol kekayaan dan statusnya. Sebagai hambanya, Okiku ditugaskan untuk menjaga kesemua pinggan emas itu.

Namun, Aoyama jatuh cinta kepada Okiku, malah berjanji mahu meninggalkan isterinya demi gadis itu. Tetapi cintanya ditolak Okiku. Penolakan itu menimbulkan dendam yang kemudian membawa kepada tragedi berdarah yang menghantui istana tersebut.,

Aoyama telah menyembunyikan salah satu pinggan emas tersebut dan menuduh Okiku mencurinya. Aoyama memberi syarat, tuduhan itu akan digugurkan jika Okiku setuju menjadi kekasihnya.

Ada dua versi tentang pengakhiran hidup Okiku. Dikatakan Okiku yang terdesak untuk membuat keputusan telah memilih membunuh diri dengan terjun ke dalam perigi istana. Manakala versi lain mengatakan Aoyama sendiri yang menolak Okiku ke dalam perigi setelah kecewa gadis itu menolak untuk menjadi kekasihnya.

Kematian Okiku tidak berakhir di situ. Mereka yang tinggal di kawasan istana mendakwa roh Okiku sering muncul setiap malam, merangkak keluar dari perigi sambil mengira sepuluh pinggan emas itu. Satu… dua… tiga… sebelum roh itu menjerit bagai orang histeria apabila mendapati pinggan kesepuluh masih hilang.

Aoyama pula dikatakan menjadi gila akibat dihantui roh Okiku setiap malam.

Selepas legenda Okiku tersebar luas pada zaman Edo (sekitar abad ke-17–19), kisahnya menjadi tema popular dalam seni lukisan kayu Jepun. Beberapa pelukis terkenal seperti Tsukioka Yoshitoshi, Hokusai dan Utagawa Kuniyoshi pernah menghasilkan karya yang menggambarkan roh wanita ini, termasuk versi bertajuk Okiku’s Ghost dan Okiku Appears from the Well.

Lukisan itu bukan potret sebenar Okiku, tetapi hanya satu interpretasi seni berdasarkan legenda rakyat. Tiada bukti sejarah menunjukkan Okiku benar-benar wujud sebagai individu hidup yang direkodkan secara rasmi.

Sehingga hari ini, perigi Okiku masih boleh dilihat di kawasan Istana Himeji. Cuma, perigi itu telah ditutup dengan jeriji besi untuk keselamatan pelawat. Atau mungkin untuk ‘mengurung’ roh Okiku di dasar perigi itu supaya tidak keluar menghantui manusia?

Perigi Okiku di Istana Himeji.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegramcv


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This