SEBANYAK 4,875 kematian akibat nahas jalan raya telah direkodkan dengan purata 18 nyawa terkorban setiap hari bagi tempoh Januari sehingga 30 September tahun ini.
Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat JK-MKKJR semalam.
Menurut Ahmad Zahid, angka itu meningkat berbanding 2024 yang merekodkan purata 17 kematian setiap hari.
Jelas beliau, lebih 67 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan penunggang motosikal.
“Peningkatan ini amat membimbangkan. Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meningkatkan operasi bersepadu di enam zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur serta Sabah dan Sarawak bagi menangani isu kenderaan membawa muatan melebihi tahap yang dibenarkan.
“Kaedah penguatkuasaan baharu turut diperkenalkan termasuk tindakan three strikes out, di mana syarikat yang didapati berulang kali melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan boleh dikenakan penggantungan lesen dan permit,” katanya dalam kenyataan
Baca artikel lain: Ekonomi halal global dijangka meningkat USD10.5 trilion menjelang 2030 – Ahmad Zahid
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi menyokong penguatkuasaan, penggunaan teknologi timbang automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) akan dipertingkatkan dan pemeriksaan muatan telah diwajibkan di pintu masuk pelabuhan bermula 1 Julai lalu.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, memelihara integriti jalan raya serta infrastruktur negara dan membina budaya pematuhan kepada undang-undang.
Selain itu, jelas beliau, kerajaan kini menguatkuasakan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) secara berfasa ke atas kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan lori dan bas mematuhi had kelajuan dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan maut akibat pemanduan melebihi had laju.
“Langkah ini disokong dengan cadangan insentif fiskal melalui Belanjawan 2026, iaitu Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh setahun bagi meringankan kos pemasangan atau penalaan SLD di pusat bertauliah.
“Gabungan penguatkuasaan tegas dan insentif ini diyakini dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menurunkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.
Ahmad Zahid menambah, pada masa sama, Kerajaan menerusi Belanjawan 2026 akan memperuntukkan RM13 bilion bagi menaik taraf dan melebarkan jalan persekutuan serta negeri, serta RM2.5 bilion untuk kerja penyelenggaraan, penurapan semula jalan rosak dan penambahbaikan pencahayaan di lokasi berisiko.
Katanya, Kerajaan juga akan memasang 3,000 unit lampu LED di hotspot kemalangan di lebuh raya bagi meningkatkan keselamatan pada waktu malam.
Menurut Ahmad Zahid, dalam mesyuarat itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah penting, termasuk penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030.
“Pelan ini akan menyokong agenda nasional ke arah sistem pengangkutan yang lebih pintar, selamat, cekap dan mampan. Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama. Penyelesaian kepada isu kesesakan dan keselamatan tidak boleh diletakkan pada satu agensi sahaja.
“Ia menuntut koordinasi antara Kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pengangkutan negara. Saya percaya bahawa apabila rakyat diberi kefahaman dan pilihan yang baik, mereka akan bersama-sama membentuk budaya mobiliti baharu yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

