‘Tak akan biarkan guna nama saya untuk jatuhkan kerajaan’

Dari Penulis

BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama dan jawatannya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan.

Beliau turut membuat penegasan sama terhadap pihak yang cuba mencemarkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di sela-sela kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Gum-Gum, pada pukul 5.05 petang tadi saya membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah.

“Ini kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Shamsul Iskandar berkata, perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen PRN Sabah.

“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.

“Saya yakin pihak polis akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Terdahulu SPRM memaklumkan akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.

Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan MADANI kukuh kerana budaya ‘duduk semeja’ – Hannah Yeoh

AMALAN bekerjasama dan saling menghormati antara parti dalam Kerajaan MADANI menjadi faktor penting kepada kestabilan pentadbiran serta keupayaan kerajaan...

More Articles Like This