Kenapa nasib aku tak sama seperti orang lain?

Dari Penulis

Sering kali kita melihat orang lain mendapat nikmat lebih daripada kita. Kadang–kadang kita merasakan seolah-olah Allah S.W.T tidak lagi ‘memandang’ kita dengan rahmah-Nya. Dalam masa yang sama, kita juga selalu membandingkan apa yang dimiliki dengan orang lain, merasakan diri sentiasa serba kekurangan daripada orang lain.  

Pernahkah terlintas di hati situasi sedemikian? Dan, pernahkah hati sering bermonolog dengan persoalan yang terlalu subjektif jawapannya. “Kenapa nasib aku tidak sama seperti orang lain?”

Nah…sekarang diam sejenak dan renungkan kembali di sebalik persoalan itu. Fikirkan kembali betapa banyak nikmat yang Allah kurniakan kita ambil begitu sahaja. Kadang-kandang tidak terasa pun ia sebagai satu nikmat.

Cuba perhatikan tatkala bangkit daripada tidur sehinggalah saat badan baring semula di kasur lembut dan melelapkan mata untuk malam seterusnya. Terlalu banyak nikmat yang dianugerahkan. Jika disenaraikan semua nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, sememangnya tidak terkira untuk dicatatkan dengan mata pena.

Di dalam surah Ar-Rahman terdapat pembahasan mengenai berbagai-bagai nikmat kurniaan daripada Allah yang telah dan akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya, terlebih khusus kepada golongan jin dan manusia. Iaitu nikmat-nikmat kehidupan di dunia dan nikmat-nikmat yang akan diberikan di syurga apabila kita dapat memasukinya.

Apabila diperhatikan isi kandungan surah Ar-Rahman, sebanyak 31 kali diulang-ulang ayat “Maka nikmat Tuhan kamu berdua (wahai manusia dan jin) yang manakah hendak kamu dustakan?”.

Ibnu Qutaibah, mengatakan berulang-ulang ayat ini disebut di dalam surah ar-Rahman menandakan terdapat banyaknya nikmat kurniaan Allah yang berbagai-bagai-bagai. Iaitu setiap kali menyebut satu nikmat maka diulangnya dengan menyebut ayat, “Maka nikmat Tuhan kamu berdua (wahai manusia dan jin) yang manakah hendak kamu dustakan?”. Tujuan pertanyaan ini diajukan adalah untuk mencaci dan mencela akan orang yang mengingkari Allah dan segala nikmat kurniaan-Nya.

Adapun memang begitulah keadaan manusia sebagaimana Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud,“Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia kepada manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”

Daripada ayat di atas menunjukkan bahawa telah banyak nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan. Akan tetapi banyak manusia tidak mensyukurinya.

Terlalu Banyak Nikmat Allah

Sudah banyak sekali nikmat yang Dia berikan. Antaranya nikmat yang paling agung adalah nikmat kemanisan iman, nikmat menghirup udara segar, nikmat makan minum, nikmat dikurniakan pasangan dan waris dan sebagainya. Adapun apabila berkaitan dengan pemberian yang sesuai dengan permohonan dan impian, kita pasti akan gembira.

Tetapi tatkala permohonan dan impian tidak kesampaian seperti mana yang dinginkan, sudah pasti keluhan akan membasahi bibir atau kesyukuran lupa untuk dilafazkan terhadap segala pemberian Allah selama ini. Ini kerana kita jarang memandang sesuatu yang berlaku dan setiap kurniaan Allah dari sudut yang positif. Padahal Allah selalu memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “ Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah berupa rasa penatnya badan, rasa kelaparan yang terus – menerus atau sakit, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa sekarang, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa lalu, gangguan orang lain pada dirinya, sesuatu yang membuat hati menjadi sesak sampai duri yang menusuknya. Melainkan akan Allah SWT hapuskan dengan sebab hal tersebut akan dosa –dosanya.” (HR Bukhari)

Saat ditimpa sesuatu musibah, maka janganlah kita cepat-cepat mengeluh. Maka lihatlah dari sudut positif musibah tersebut. Sentiasalah berfikir dan merenung bahawa Allah amat sayang dan kasih kepada hamba-Nya. Ini kerana Allah akan menghapus dosa-dosa kita melalui ujian yang diturunkan. Itulah tanda sayang dan kasih Allah kepada hamba-Nya.

Begitu juga ketika keputusan Allah s.w.t. tidak sesuai dengan harapan dan keinginan kita. Mungkin itu adalah untuk kebaikan jangka panjang. Ingatlah, bahawa Allah akan memberikan kepada kita apa yang diperlukan, tetapi bukan apa yang diinginkan, kerana boleh jadi apa yang kita harapkan itu akan memberi kemudaratan dan membawa kepada perkara yang tercela di kemudian hari.

Betapa hebatnya perancangan Allah untuk hamba-Nya dan kita perlulah sentiasa bersangka baik di dalam hati akan ketentuan Allah dalam kronologi kehidupan seharian. Penyataan ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This