MATA HARI | Penari eksotik yang jadi perisik dua kuasa besar. Kepalanya yang diawet hilang tidak dapat dikesan

Dari Penulis

Dia dikenali dengan panggilan Mata Hari. Seorang wanita penari eksotik dan pelacur kelas atasan yang pernah menggoncang dunia Eropah pada awal abad ke-20. Didakwa sebagai perisik wanita pertama dalam sejarah yang mengintip untuk Jerman dan Perancis dan membuatkan puluhan ribu tentera Bersekutu terkorban.

Nama sebenarnya Margaretha Geertruida Zelle, lahir pada 7 Ogos 1876 di Leeuwarden, Belanda. Merupakan anak sulung daripada empat beradik, beliau membesar dalam keluarga yang mewah. Bapanya merupakan seorang pemilik kedai kopi dan terlibat dalam industri minyak.

Namun, ketika berusia 13 tahun, keadaan berubah apabila saham minyak jatuh yang menyebabkan keluarganya menjadi muflis sehingga kedua ibu bapanya bercerai.

Semasa berusia 15 tahun, ibunya pula meninggal dunia. Margaretha kemudian terpisah daripada adik beradiknya apabila dihantar untuk menetap bersama bapa saudaranya.

Mahu lari dari kehidupan yang sukar, Margaretha menjawab satu iklan mencari isteri yang diiklankan Kapten Rudolf MacLeod, seorang pegawai tentera yang berkhidmat di Hindi Timur Belanda (Indonesia).

Margaretha berkahwin dengan lelaki yang berusia itu ketika berusia 18 tahun. Kerjaya ketenteraan suaminya membawa pasangan ini menetap di Indonesia. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang anak, Norman dan Louise.

Pada usia 18 tahun, dia berkahwin dengan lelaki yang 20 tahun lebih tua daripada usianya.

Walaupun mampu hidup senang dengan jaminan kewangan, namun hidupnya tidak bahagia. Suaminya seorang kaki pukul dan panas baran. Untuk lari daripada masalah perkahwinan, Margaretha mula belajar tentang budaya Indonesia dan menyertai sebuah kumpulan tarian tempatan. Di sinilah nama popularnya Mata Hari tercetus, iaitu nama pentas yang digunakannya semasa membuat persembahan.

Anak lelakinya, Norman meninggal dunia ketika berusia dua tahun kerana masalah kesihatan. Pasangan ini berpindah semula ke Belanda dan kemudian bercerai pada 1902.

Di usia 27 tahun, Margaretha hidup dalam kemiskinan. Pada tahun 1903, dia terpaksa melepaskan hak jagaan anak perempuannya kepada bekas suami kerana masalah kewangan. Dia kemudian berpindah ke Paris untuk memulakan hidup baru.

Di kota itu, Margaretha melakukan pelbagai kerja sebelum menjenamakan dirinya sebagai seorang penari eksotik. Diinspirasikan berdasarkan pengalamannya di Hindia Timur Belanda, dia membuat persembahan tarian dan menggunakan nama panggilan Mata Hari.

Tarian eksotik membuatkan nama Mata Hari dikenali ramai.

Dalam setiap persembahan, dia akan menanggalkan lapisan jubah dan selendang berwarna-warni sehingga tubuhnya hampir terdedah sepenuhnya. Dalam masa singkat, persembahannya mendapat tontotan ramai kerana keberaniannya itu. Watak Mata Hari yang diciptanya menjadi terkenal dalam masa singkat. Ia menjadi lesen untuknya mendampingi ramai lelaki ternama untuk mengaut keuntungan.

Nama Mata Hari berada di puncak pada 1905. Waktu itu adalah zaman keemasannya. Bukan saja hidup berfoya-foya dengan ramai lelaki kaya, dunianya juga berlingkar dengan melakukan persembahan di sekitar Eropah yang sentiasa dipenuhi penonton.

Menjadi Perisik

Menjelang tahun 1910, populariti Mata Hari mulai menurun. Tambahan pula ketika itu muncul ramai penari muda yang melakukan tarian eksotik sepertinya.

Sewaktu Perang Dunia Pertama meletus pada 1914, Mata Hari masih melakukan beberapa persembahan di sekitar Jerman dan Belanda. Persembahan terakhirnya ialah pada tahun 1915.

Selepas itu, hubungannya dengan lelaki kaya bukan lagi sekadar gaya hidup, tetapi ia menjadi keperluan untuk kelangsungan hidup mewahnya. Ketika itu, Mata Hari usianya sudah hampir mencecah 40 tahun dengan karier tarian yang sudah berakhir.

Walau sudah tidak bergelar penari, tetapi kerjanya sebagai pelacur kelas atasan masih berjalan. Melihat rangkaian kenalan elitnya dan status kewarganegaraan Belanda yang neutral sebagai aset, pada 1915 dia telah ditawarkan untuk menjadi perisik Jerman oleh seorang konsulat Jerman, Jeneral Carl H.Cramer yang juga merupakan pelanggannya.

Carl menawarkan 20,000 franc untuk menjadikannya perisik Jerman. Tugas yang diberikan mudah. Mata Hari hanya perlu terus menjadi pelacur kelas atasan dengan mencungkil rahsia ketenteraan daripada para pegawai Inggeris dan Perancis yang ditidurinya. Untuk tugas itu, dia diberi nama kod perisik sebagai ‘H21’.

Dalam keadaan terdesak, Mata Hari menerima tawaran pihak Jerman itu sebagai tukaran untuk mendapatkan akses bagi melawat kekasihnya yang merupakan seorang juruterbang Rusia, Kapten Vadim Maslov.

Dalam bulan-bulan berikutnya, Mata Hari terus mengembara di Eropah dan menjalinkan hubungan dengan pegawai tentera serta ahli politik. Pergerakannya yang aktif ditambah kehadirannya di Jerman pada awal perang meletus telah menarik perhatian perisikan British.

Walau karier tariannya berakhir, Mata Hari masih menjadi pelacur kelas atasan dan dilamar menjadi perisik.

Pada 1916, seorang pegawai perisikan Perancis, Georges Ladoux, menawarkannya peluang menjadi perisik Perancis. Demi wang, Mata Hari menerima tawaran itu dan berjanji akan mencungkil rahsia ketenteraan Jerman. Bermakna, wanita ini menjadi perisik untuk dua kuasa sekali gus.

Ditangkap & Dibicarakan

Namun, kegagalan Mata Hari memberi maklumat berguna kepada Jerman membuatkan pihak perisikan Jerman marah. Kontraknya sebagai perisik ditamatkan. Malah, identitinya sebagai perisik turut sengaja didedahkan oleh Jerman supaya diketahui pihak Perancis.

Pada Januari 1917, pihak Jerman menghantar satu mesej radio ke Berlin tentang seorang perisik wanita yang menggunakan kod H-21. Mesej itu sengaja dibiarkan mudah untuk dinyahkodkan oleh pihak Perancis.

Daripada situ identiti Mata Hari sebagai perisik Jerman terdedah. Perancis mendapat tahu rupanya wanita itu bukan hanya perisik mereka, tetapi juga perisik Jerman.

Rahsia Mata Hari sebagai perisik sengaja didedahkan oleh perisikan Jerman.

Ketika pulang ke Paris pada Februari 1917, Mata Hari telah ditangkap pihak Perancis di bilik hotelnya dan dibawa ke penjara Saint-Lazare. Wanita ini dibicarakan melalui mahkamah tentera dalam perbicaraan tertutup lima bulan selepas ditahan.

Pihak Perancis mendakwa Mata Hari atas kesalahan menjadi perisik Jerman dan telah mengakibatkan kematian 50,000 tentera mereka, walaupun sebenarnya tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan itu.

Mata Hari memberitahu, dia memang menerima ganjaran wang untuk menjadi perisik Jerman, tetapi dia hanya memberikan maklumat remeh kepada mereka kerana kesetiannya lebih tinggi terhadap Perancis.

Juga, tiada bukti kukuh berkaitan kebocoran maklumat yang berlaku dalam pasukan Perancis ada kaitan dengan Mata Hari. Kebanyakan pengkaji mengatakan, wanita ini hanya digunakan sebagai alat atau dijadikan kambing hitam untuk menutup kesalahan yang berlaku.

“Seorang perempuan simpanan, ya. Seorang perisik, tidak pernah!” Itu kata-kata Mata Hari. Dia mengaku menerima wang daripada Jerman, tetapi menafikan pernah menyerahkan sebarang maklumat rahsia Perancis.

Namun, segala alasan Mata Hari tidak diterima. Pihak pendakwa tetap menganggapnya bersalah dan wanita ini dijatuhi hukuman mati. Hartanya pula dirampas pihak Perancis. Langsung tidak diberikan waima satu sen pun kepada anak perempuanya, Louise.

Mata Hari semasa dijatuhi hukuman mati dengan tembakan.
Mata Hari selepas ditembak.

Pada pagi 15 Oktober 1917, Mata Hari yang berusia 41 tahun dibawa untuk menjalani hukuman, ditembak mati oleh 12 anggota skuad penembak. Mata Hari menolak untuk memakai penutup muka. Dia sempat memberi simbol ciuman dari jauh kepada skuad penempak itu sebelum nyawanya ditamatkan.

Selepas mati, mayatnya didermakan untuk tujuan pembelajaran. Kepalanya diawet dan disimpan di Muzium Anatomi di Paris. Namun, kepalanya didapati telah hilang semasa muzium tersebut berpindah pada tahun 1954. Begitu juga dengan badannya. Sehingga sekarang ia tidak dapat dikesan. Siapa agaknya yang mengambil kepala dan badan wanita yang pernah menggemparkan kuasa besar Eropah ini dahulu?

Sehingga hari ini, persoalan sama ada Mata Hari atau Margaretha Geertruida Zelle benar-benar bersalah masih terus diperdebatkan. Dokumen perbicaraannya dirahsiakan selama beberapa dekad. Ramai sejarawan berpendapat kes terhadapnya lemah. Ada yang percaya dia dijadikan kambing hitam untuk menutup kesilapan ketenteraan Perancis.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This