Sorakan meriah bertukar kepada jeritan ‘boo’, pentas RadjaWali dihentikan tepat pukul 12 malam

Dari Penulis

Idea Live Arena Damansara pada malam sabtu lalu gegak gempita dengan sorakan ribuan peminat yang hadir menyaksikan konsert RadjaWali Live in Malaysia.

Dibanjiri lebih 5,000 peminat, kumpulan Radja terlebih dahulu tampil menghangatkan pentas dengan rangkaian lagu popular mereka yang pernah mewarnai kehidupan generasi era 2000-an.

Dipimpin vokalisnya, Ian Kasela, Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo, Radja membuka tirai dengan Tulus sebelum menyampaikan sekitar 18 buah lagu, termasuk seleksi popular mereka seperti Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Jujur dan Cinderella.

Ternyata pesona Radja yang sudah berusia lebih dua dekad ini masih belum pudar. Peminat turut sama menyanyi dan terhibur dengan mereka. Walau sudah memasuki usia lima siri, vokal dan stamina penyanyinya, Ian masih tetap bertenaga dan tidak berubah. Ian juga sempat turun ke bawah pentas untuk menyapa peminat.

Setelah sejam lebih dihiburkan Radja, pentas kemudian diambil alih oleh Wali Band pula. Walaupun tampil tanpa gitaris mereka, Apoy, yang tidak dapat hadir atas faktor kesihatan, kehadiran Faank, Ovie dan Tommy sudah cukup menghidupkan pentas.

Lagu demi lagu dinyanyikan dengan penuh semangat, disambut sorakan dan nyanyian beramai-ramai penonton. Faank turut kelihatan sebak dan mengalirkan air mata sewaktu mendendangkan lagu Doaku Untukmu Sayang.

Pun begitu, keadaan kembali rancak apabila kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 ini mendendangkan lagu Emang Dasar. Sayangnya, harapan untuk peminat terus menikmati persembahan kumpulan ini berakhir duka.

Ketika emosi penonton sedang berada di kemuncaknya, kegembiraan tersebut musnah apabila lampu arena tiba-tiba dimatikan seusai dendangan lagu Ada Gajah Di Balik Batu.

Lampu terpadam, muzik terhenti. Pengacara konsert, Isma Halil, tampil membuat pengumuman bahawa persembahan terpaksa dihentikan serta-merta tepat jam 12.00 tengah malam.

Pengumuman itu disambut dengan jeritan kecewa. Ada yang enggan berganjak, ada yang melaungkan ‘boo’ beramai-ramai sebagai tanda protes. Kekecewaan peminat jelas terpancar, apatah lagi apabila beberapa lagu hit Wali Band seperti Yank, Aku Bukan Abang Toyib, Cari Jodoh dan Tobat Maksiat masih belum sempat dipersembahkan.

Difahamkan, konsert terpaksa dihentikan kerana kekangan masa serta terikat dengan permit dan perjanjian antara penganjur dan pihak pengurusan venue.

Walaupun Wali Band dilaporkan mahu memenuhi permintaan peminat dan sempat memohon maaf secara terbuka, mereka tidak dapat meneruskan persembahan mengikut perancangan asal yang sepatutnya merangkumi 14 buah lagu.

Sebagai tanda penghargaan, tindakan Wali Band menyanyikan beberapa lagu secara akapela bersama penonton tanpa iringan muzik tetap meraih pujian, meskipun tidak mampu meredakan kekecewaan peminat yang keluar dari arena dengan rasa tidak puas hati.

Selepas konsert, kekecewaan itu beralih ke media sosial. Ramai penonton meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjur, malah ada yang menuntut penjelasan dan mempersoalkan nilai tiket yang dijual pada harga antara RM177 hingga RM977.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This