Terletak di tengah kota Berlin, Jerman, berdiri sebuah bangunan yang tampak aneh. Bahagian luarnya konkrit kelabu padu, namun ditembusi deretan paip pengudaraan panjang yang terjulur ke pelbagai arah.
Bangunan ini dikenali sebagai ‘Mouse Bunker’ (Mäusebunker). Ia sebenarnya merupakan sebuah makmal penyelidikan haiwan. Suatu ketika dahulu, ia menempatkan lebih 45,000 ekor tikus makmal dan 20,000 ekor tikus belanda, selain pelbagai spesies tikus lain.
Bunker tikus ini siap dibina pada tahun 1981 ketika Berlin sedang melalui era ledakan pembinaan konkrit. Bangunan ini dihubungkan melalui terowong bawah tanah dengan bangunan Institut Kebersihan dan Mikrobiologi yang terletak berdekatan dan siap lebih awal pada tahun 1974.

Direka oleh pasangan suami isteri arkitek, Gerd dan Magdalena Hänska, bangunan berbentuk rendah dan padat ini tampak seperti sebuah kubu pertahanan.
Tingkapnya yang minimum serta cerobong ekzos menyerupai laras meriam yang terjulur keluar secara melintang dari dinding bangunan menjadikan reka bentuknya nampak aneh.
Muzium Seni Bina Jerman di Frankfurt pernah menyifatkan Mäusebunker sebagai bangunan paling menyeramkan dalam modernisme pasca-perang Jerman.
Fungsi bangunan ini tidak kurang anehnya berbanding rupa luarnya. Mäusebunker dibina oleh Universiti Bebas Berlin bagi menjalankan eksperimen saintifik menggunakan haiwan hidup, selain membiak haiwan yang diperlukan secara langsung di lokasi tersebut.
Atas faktor keselamatan, makmal ujian haiwan ditempatkan jauh ke dalam struktur bangunan dan sistem pengudaraannya menggunakan paip pengambilan udara berbentuk seperti laras meriam.

Mahu Dirobohkan
Namun sejak 2010, Mäusebunker ditutup, dibiarkan kosong tanpa penghuni. Sejak sekian lama ia dipandang sebagai pemandangan yang mencacatkan wajah bandar dan telah disenaraikan untuk dirobohkan, bersama bangunan Institut Kebersihan dan Mikrobiologi yang terletak berhampiran.
Charité, rangkaian hospital penyelidikan awam terkemuka sebelum ini telah memohon untuk merobohkan bangunan ini dengan hasrat menggantikannya dengan sebuah kampus penyelidikan moden. Namun, sekumpulan penduduk, arkitek dan aktivis telah melancarkan kempen bagi menentang pemusnahan bangunan ini.
Ia telah mencetuskan gerakan untuk menyelamatkannya. Ribuan orang tampil menandatangani petisyen bagi menghentikan rancangan untuk merobohkannya.
Hasil desakan penduduk setempat, aktivis pemuliharaan, arkitek serta tokoh seni, akhirnya bangunan tikus ini tidak jadi dimusnahkan. Ia dilindungi sebagai warisan seni bina di Berlin.
Pihak berkuasa Berlin telah mengiktiraf Mäusebunker sebagai bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang luar biasa. Pada tahun 2023, bangunan ini secara rasmi diwartakan sebagai bangunan warisan (Denkmalschutz), sekali gus menggugurkan rancangan perobohan yang dipohon oleh pihak Charité.
Walaupun statusnya kini dilindungi undang-undang, Mäusebunker masih belum digunakan semula. Isu timbul berkaitan pencahayaan semula jadi yang terhad, kos pembersihan asbestos yang tinggi dan persoalan fungsi baharu yang sesuai dengan struktur seperti kubu itu. Kini ia kekal berdiri sebagai monumen seni bina semata-mata.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

