KEPERIHAN yang ditanggung juara program Talk To My Manager, Marsya Qistina, akibat serangan buli siber rupa-rupanya turut dirasai rakan seperjuangannya, Auddra.
Penyanyi berusia 17 tahun yang mesra disapa Oddah itu tampil menyuarakan rasa simpati dan terkilan apabila melihat Marsya menjadi sasaran kebencian netizen, sedangkan rakannya itu memiliki kualiti yang jarang ditemui.
Menepis dakwaan netizen yang mempertikaikan kredibiliti Marsya, anak kepada selebriti Sharifah Shahirah itu menegaskan bahawa vokal Marsya berada dalam kelas tersendiri.
“Dia layak bergelar juara. Vokal dia memang sangat-sangat hebat. Saya rasa orang yang kecam dia mungkin tak pernah dengar dia menyanyi secara langsung.
“Bila saya dengar suara dia menyanyi secara bertentang mata, meremang bulu roma.
“Dia tak layak untuk dikecam! Sebab dia memang layak untuk pegang gelaran juara,” katanya kepada URTV.
Auddra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di ibu negara, baru-baru ini.
Sementara itu, dia turut pelik apabila netizen mula membandingkan pencapaian kerjayanya dan seorang lagi rakan, Thalita, dengan Marsya.
Baginya, Marsya adalah seorang pejuang yang hebat kerana mampu mengimbangi tekanan dunia seni dan tuntutan akademik sebagai pelajar.
“Banyak orang tanya kenapa saya dan Thalita dapat banyak ‘job’. Kami pun tertanya-tanya, kenapa netizen tak kasihan pada Marsya?
“Dia seorang yang rajin belajar dan pada masa sama berkerjaya sebagai penyanyi. Bukan mudah nak menyanyi dan sambung belajar dalam satu masa,” luahnya.
Sedar akan bahaya dunia digital, Auddra mengakui dia mempunyai ‘perisai’ sendiri bagi mengelakkan kesihatan mentalnya terganggu akibat komen negatif.
“Emak saya pesan jangan baca komen dan tak perlu ambil kisah sangat. Boleh baca, tapi jangan terlalu banyak sebab bila kita terlalu membaca komen, kita boleh terasa.
“Lama-lama nanti kita akan rasa mental kita tak sihat. Jadinya, lebih baik saya perlu baca komen-komen negatif di media sosial,” jelasnya lagi.
Walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri, Auddra memberi jaminan bahawa dia bersama rakan-rakan lain seperti Ammar dan Hadie sentiasa berada di belakang Marsya.
Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas ibu Marsya, penyanyi Liza Hanim, mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memberi pengajaran kepada pembuli siber yang melampaui batas.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

