KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti laporan kesan kebakaran kilang getah di Kulai yang menjejaskan 6,000 pelajar dari tujuh buah sekolah.
Menterinya Fadhlina Sidek, berkata laporan awal berkenaan kejadian telah diterima dan semua sekolah terlibat kini melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Secara keseluruhannya, kita telah menerima laporan awal mengenai kejadian tersebut.
“Ketika ini, tujuh sekolah yang terlibat sedang menjalankan PdPR dan laporan berkaitan insiden kebakaran serta kesannya sedang diteliti untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Jaulah Ramadan Menteri Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad, hari ini.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang iaitu seramai 153 murid dan 16 guru; SJKC Kulai Besar (1,345 murid, 71 guru); Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai (1,191 murid, 77 guru); SK Taman Kota Kulai 2 (1,210 murid, 82 guru); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai (1,020 murid, 71 guru); SMK Taman Putri (1,128 murid, 91 guru) serta Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
Selain itu, seramai 80 pelajar dilaporkan mengalami gejala ringan susulan kebakaran sebuah kilang getah berkenaan.

