[V] Debaran Di Pagi Raya: Naskhah Nostalgia Hiem Black & Abby Zainal Buat Peminat Terimbau Kenangan Lama

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DI saat industri muzik tanah air dibanjiri dengan pelbagai naskhah Aidilfitri daripada barisan pempengaruh dan bakat baharu, duo gandingan mantap, Hiem Black dan Abby Zainal muncul mempertaruhkan sebuah karya yang cukup mendalam nilai nostalgianya.

Menerusi single berjudul Debaran Di Pagi Raya, pasangan duet di bawah naungan syarikat rakaman FGI Entertainment ini nekad membawa pendengar menelusuri semula memori indah sambutan Hari Raya era 90-an yang penuh kesederhanaan namun sarat dengan kemanisan.

Bercerita mengenai titik permulaan kolaborasi ini, Hiem atau nama penuhnya Ibrahim Bin Ismail,32, mendedahkan bahawa lagu tersebut merupakan hasil sentuhan emas komposer tersohor, Nizam Fansuri, individu yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lirik lagu Hanya Tinggal Kenangan nyanyian Dzamier Azizi.

Apa yang menarik, proses penciptaan melodi tersebut berlaku secara tidak sengaja di depan mata Hiem sendiri.

“Lagu ini sebenarnya lahir daripada proses kreatif yang sangat spontan.

“Sebaik sahaja saya mendengar melodinya buat kali pertama, gerak hati saya terus mengatakan bahawa naskhah ini sangat ‘mahal’ jika dijadikan lagu raya.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus mencadangkan agar ia dibawakan secara duet bersama Abby.

“Syukurlah, Abby menyambut baik pelawaan itu dan kami mula membayangkan betapa indahnya jika suasana raya zaman dahulu dapat dihidupkan semula dalam karya ini,” kata Hiem kepada URTV.

Meskipun bernaung di bawah bumbung pengurusan yang sama, ini merupakan kali pertama Hiem dan Abby disatukan dalam sebuah lagu rasmi.

Abby atau Abidah Binti Zainal,32, mengakui perbezaan latar belakang genre muzik antara mereka sebenarnya menjadi tunjang kekuatan kepada Debaran Di Pagi Raya.

“Walaupun kami belum pernah mempunyai lagu duet sebelum ini, saya sudah lama mengagumi kualiti vokal Hiem yang lebih ke arah genre rock dengan tona yang sangat unik.

“Manakala suara saya pula lebih lembut dan cenderung kepada sisi emosional.

“Apabila dua karakter yang berbeza ini bersatu, ia mewujudkan satu harmoni yang segar dan cukup menarik. Saya sangat berpuas hati dengan hasil akhirnya,” kata Abby menyifatkan proses rakaman yang dilakukan lima hari sebelum Ramadan itu berjalan dengan penuh keceriaan.

Mengulas lanjut mengenai pengisian lirik, Hiem menjelaskan bahawa lagu ini mengangkat tema debaran seorang insan yang pertama kali ingin menyambut Aidilfitri di kediaman orang tersayang.

“Liriknya sangat dekat dengan hati kita, iaitu tentang perasaan gementar tetapi gembira apabila mahu bertemu buat kali pertama di pagi raya.

“Sudah tentu kita mahu tampil segak dan memberikan impresi terbaik. Namun, di sebalik itu, Abby turut menambah sentuhan emosi yang membawa kita kembali ke zaman sebelum teknologi mengambil alih zaman di mana segalanya sangat ringkas tetapi penuh dengan kehangatan ukhuwah,” tambah Hiem lagi.

Lebih membanggakan, single ini turut dipilih untuk dimuatkan dalam album komersial khas berjudul Rindu Aidilfitri 2026.

Album yang menghimpunkan 20 artis berbakat ini dikelolakan oleh produser berpengalaman, Fauzi Aisunam bersama Ajak Melissa.

Antara nama besar yang turut memeriahkan album kompilasi tersebut termasuklah Yassin Senario, Roslan Shah (Cik Lan), T-Rex Kamikaze, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Menutup bicara, Hiem membayangkan tahun ini bakal menjadi tahun yang sangat produktif buatnya.

Selain merancang beberapa lagi lagu duet bersama Abby, dia juga bakal melancarkan dua single solo hasil ciptaan komposer legenda, Saari Amri dan Sham Barongan dalam masa terdekat.

Muzik video Debaran Di Pagi Raya secara rasminya telah menemui peminat pada 7 Mac yang lalu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This