SYAWAL selalunya disambut dengan keriangan, namun bagi penyanyi Khai Bahar, Aidilfitri kali ini membawa satu dimensi rasa yang lebih melankolik dan reflektif.
Menerusi single Raya terbaharunya berjudul Aku Rindu, Khai mengajak peminat menyelami gelombang rindu yang tidak berpenghujung terhadap Allahyarhamah bonda tercinta yang telah pergi buat selamanya.
Diterbitkan di bawah label gergasi Sony Music Entertainment Malaysia, naskhah ini merupakan hasil sentuhan emas komposer Farouk Roman bersama penulis lirik Adrianna Cinta.
Berbeza dengan lagu raya komersial yang lain, Aku Rindu tampil sebagai sebuah balada dramatik yang membedah emosi rindu dalam balutan muzik yang cukup indah.
Bagi Khai, karya itu bukan sekadar projek bermusim, sebaliknya ia adalah satu keberanian untuk memaparkan sisi rapuh seorang insan yang kehilangan tunjang hidupnya.
Lagu ini lahir daripada fragmen kenangan peribadi Khai yang sentiasa segar dalam ingatan.
“Lagu ini sangat reflektif dan penuh emosi.
“Ia bukan sekadar untuk memeriahkan suasana sambutan, tetapi untuk dirasai sedalamnya terutama buat mereka yang terpaksa berhari raya di perantauan atau mereka yang telah kehilangan insan tersayang buat selama-lamanya,” katanya.
Khai menyifatkan lagu ini sebagai medium untuknya menyalurkan segala rasa yang terbuku di hati.
Setiap bait lirik disusun seolah-olah bercerita, bermula daripada rentak perlahan yang membangkitkan memori, hinggalah ke korus yang melepaskan segala beban rindu yang ditanggung.
Kekuatan Aku Rindu bukan sahaja terletak pada liriknya, tetapi juga pada teknik vokal Khai yang menuntut keseimbangan yang jitu.
Pendengar pasti akan terbuai dengan korus terakhir yang menjadi puncak dramatik lagu ini, di mana Khai menggunakan teknik breathy tone dan falsetto yang halus.
“Secara teknikal, cabarannya adalah untuk menyeimbangkan antara kekuatan vokal dan penghayatan jiwa.
“Kalau saya nyanyi terlalu kuat, jiwanya mungkin hilang.
“Namun, kalau terlalu lembut, klimaks lagu ini pula tidak akan sampai kepada pendengar.
“Jadi, saya perlu cari titik tengah supaya ‘feel’ itu benar-benar menusuk,” jelasnya.
Sepanjang proses rakaman, Khai mengakui perlu berada dalam suasana yang sangat tenang untuk mendapatkan mood yang tepat.
Malah, dia sendiri meminta untuk mengulang beberapa bahagian rakaman demi memastikan setiap perkataan yang disebut membawa ‘roh’ rindu yang sebenar.
Bagi memastikan emosinya tidak lari, Khai mendedahkan dia sering membayangkan suasana syahdu malam raya, bunyi takbir yang bergema, kemeriahan orang pulang ke kampung, dan rasa kosong apabila insan paling disayangi tidak lagi berada di sisi.
“Semua yang terlibat dalam produksi memberi ruang sepenuhnya untuk saya masuk ke dalam mood tersebut.
“Saya percaya, apabila kita sendiri merasai kesakitan dan rindu itu ketika menyanyi, Insya-Allah pendengar juga akan dapat merasainya bersama,” tambahnya.
Khai meletakkan harapan yang tinggi agar Aku Rindu menjadi teman buat mereka yang sedang berduka di pagi raya.
Dia mahu lagu ini menjadi pengubat atau sekurang-kurangnya tempat untuk penonton melepaskan rasa rindu yang tersimpan.
“Harapan saya mudah. Saya mahu bila orang dengar kali pertama, mereka terus tersentuh.
“Mungkin teringat kampung halaman atau momen raya yang paling bermakna dalam hidup mereka.
“Jika lagu ini boleh buat orang diam sejenak dan rasa sesuatu di hati, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya menutup bicara.
Aku Rindu kini sudah boleh dinikmati di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.
Jangan lepaskan peluang untuk menyelami emosi Syawal yang paling jujur daripada Khai Bahar sepanjang musim perayaan ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

