SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor anak anjing dengan merendam haiwan berkenaan dalam sebuah tangki berisi air di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.14 pagi semalam.
Menurut Ramsay, ia selepas orang awam melihat video berhubung kejadian itu yang tular di laman media sosial TikTok.
Beliau berkata, kandungan video tular itu memaparkan seorang lelaki telah bertindak kasar dengan merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 3.40 petang, pihak polis telah menahan seorang lelaki disyaki warga tempatan berusia awal 20-an di kawasan lokasi kejadian.
“Semasa tangkapan dibuat, tiga ekor anjing turut dirampas bersama suspek dengan bantuan kehadiran pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ramsay memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, manakala Seksyen 428 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

