DI sebalik ‘kebisuan’ aktor berkaliber Que Haidar yang didakwa seolah-olah “menghilangkan diri” susulan pelbagai kontroversi peribadi, pelakon Kodi Rasheed tampil memberikan pencerahan mengenai keadaan terkini rakan seperjuangannya itu.
Kodi, atau nama sebenarnya Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed,36, menegaskan hubungannya dengan Que bukan sekadar rakan artis, malah sudah dianggap sebagai abang dan guru yang sangat dihormati dalam industri.
Ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Libang Libu di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, malam tadi, Kodi memaklumkan dia sering berhubung dengan Que bagi memastikan aktor tersebut berada dalam keadaan yang baik.
Baginya, bertanya khabar adalah satu kewajipan moral sebagai seorang murid kepada gurunya.
“Saya tetap berhubung dengan dia kerana dia adalah cikgu saya. Sudah tentu saya tanya khabar sama ada dia okay atau tidak.
“Kebiasaannya, saya akan menelefon dia dua atau tiga kali seminggu.
“Kalau tidak pun, bila terdetik sahaja di hati, saya akan terus hubungi.
“Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Selain bertanya khabar, Kodi turut mengambil kesempatan mengajak Que untuk menonton karya terbaharunya serta membincangkan promosi filem Malaikat Malam yang turut melibatkan mereka berdua.
Kodi tidak menyembunyikan rasa sedihnya apabila mengenangkan kemelut yang melanda rumah tangga Que dan Linda Jasmine yang disifatkannya sebagai pasangan yang sangat romantis sebelum ini.
Namun, sebagai orang luar, Kodi memilih untuk tidak mencampuri urusan dalaman dan lebih fokus memberikan sokongan moral.
Menurut Kodi, gelombang sokongan yang diterima oleh Que daripada peminat dan rakan industri pada waktu sukar ini adalah cerminan kepada kebaikan yang pernah dilakukan oleh aktor itu sebelum ini.
“Ramai yang sayangkan dia, itu perkara yang bagus.
“Bagi saya, apa yang dia doakan dan apa yang dia lakukan sebelum ini, inilah balasannya sekarang menerusi sokongan orang ramai.
“Memang sedih bila perkara seperti ini berlaku, apatah lagi mereka adalah pasangan yang sangat ‘sweet’.
“Namun, saya hanya mampu beri sokongan dan percaya pasti ada hikmah yang baik akan datang kelak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon filem Malaikat Malam ini turut menitipkan pesanan buat netizen dan orang sekeliling agar berhenti membuat spekulasi atau melemparkan fitnah yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Dia berharao agar semua pihak memberikan ruang kepada Que dan Linda untuk menyelesaikan urusan peribadi mereka tanpa gangguan luar.
“Apa yang boleh saya katakan kepada orang luar, tidak perlu masuk campur.
“Biarkan mereka selesaikan sendiri. Tak perlu ada sindiran atau hasutan kerana kita tidak tahu hal sebenar antara suami isteri.
“Insya-Allah, akan ada pengakhiran yang baik buat mereka,” tegasnya.
Isu rumah tangga Que kembali menjadi buah mulut selepas Linda mendakwa perceraian mereka yang berlaku pada 2 Julai 2024 adalah demi melindungi anak-anak daripada unsur jahat.
Pasangan yang berkahwin pada 2009 ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar sepanjang 15 tahun perkongsian hidup mereka.
Linda turut memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24, menerusi perkahwinan pertama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

