“Cucu, mari sini…” Nenek bongkok mati tragis itu masih berkeliaran di MRSM

Dari Penulis

SUASANA malam di kawasan asrama di salah sebuah MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) di Negeri Sembilan itu biasanya sunyi selepas jam 12.

Hanya bunyi cengkerik dan angin yang menyapu dedaunan hutan menjadi teman setia.

Namun bagi seorang warden asrama yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, satu pengalaman pada lewat malam telah mengubah persepsinya terhadap tempat itu… selama-lamanya.

“Aku ingat pelajar keluar asrama…”

Menurut Hisham, kejadian itu berlaku sekitar jam 12 tengah malam.

Malam itu, dia baru sahaja selesai membuat rondaan terakhir sebelum masuk ke rumah kuartersnya yang terletak berhampiran kawasan asrama.

Ketika membuka pintu belakang rumah, dia terdengar bunyi seperti langkah perlahan di celah semak.

“Aku ingatkan pelajar ponteng keluar asrama, jadi aku jenguk dari pintu belakang,” katanya.

Namun apa yang dilihatnya bukan pelajar.

“Cucu… Mari sini…”

Di hujung samar cahaya, berdiri seorang nenek tua.

Bongkok. Rambutnya kusut panjang. Pakaiannya lusuh dan kelihatan seperti basah.

“Aku jadi kaku. Wanita itu berdiri betul-betul di sempadan hutan, kawasan yang gelap gelita dan tidak berpenghuni di belakang kawasan MRSM.

“Dia pandang aku, lepas tu dia panggil… ‘cucu… Mari sini’… perlahan sangat. Dengar pun sayup-sayup saja.”

Hisham mengaku, pada saat itu bulu romanya meremangkan. Kerana dia tahu,
belakang rumah itu bukan laluan orang. Itu hutan.

Tanpa berfikir panjang, Hisham terus menutup pintu dan mengunci dari dalam.
Namun sebelum pintu ditutup sepenuhnya…

“Aku nampak dia macam nak melangkah dekat… tapi langkah dia pelik… perlahan, terseret…”

Ketakutan mula menyelubungi dirinya.
Malam itu dia tidak lena tidur.

Keesokan pagi, Hisham bangun dalam keadaan lemah. Badannya panas, menggigil, dan sukar untuk berdiri lama.

“Macam demam biasa… tapi rasa lain. Berat… macam ada benda ikut,” katanya perlahan.

Rakan sekerja yang mengetahui kejadian itu menasihatinya untuk mendapatkan rawatan tradisional selain perubatan biasa.

Kisah lama yang kembali disebut

Selepas kejadian tersebut, barulah Hisham diberitahu oleh beberapa staf lama tentang kisah yang jarang diperkatakan secara terbuka berkaitan kawasan salah sebuah MRSM itu.

Dikatakan kawasan itu dahulu, pada zaman penjajah, pernah menjadi lokasi terpencil yang menyimpan sejarah hitam.

Menurut staf itu, pernah ada seorang wanita tua yang tinggal bersendirian di kawasan tersebut.

Wanita itu dikatakan mati dibunuh dalam keadaan tragis. Lebih menyayat hati… jenazahnya tidak disemadikan dengan sempurna.

Sejak itu, ada yang mendakwa pernah terlihat bayangan seorang nenek tua berkeliaran di kawasan hutan berhampiran asrama MRSM berkenaan.

“Dia panggil aku macam kenal…”

Apa yang paling mengganggu fikiran Hisham bukan sekadar rupa wanita itu.

Tetapi cara dia memanggil.
“Dia panggil aku ‘cucu’… macam dia kenal aku. Itu yang buat aku tak sedap hati sampai sekarang.

“Sejak kejadian itu, aku teruskan bertugas seperti biasa. Namun setiap kali malam, aku wajib pastikan pintu belakang rumah dikunci rapat sebelum jam 11 malam.”

Misteri yang kekal misteri

Adakah “nenek” itu sekadar bayangan minda akibat keletihan?

Atau benar wujud sesuatu yang masih terperangkap di kawasan itu sejak zaman silam?

Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan pasti.

Namun bagi Hisham…
“Kalau dengar suara panggil dari arah hutan waktu malam… jangan sahut.”

Catatan: Kisah ini diceritakan mengikut pengalaman sebenar dan pandangan peribadi individu sepanjang berkhidmat di MRSM. Tidak mewakili mana-mana pihak. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This