Kenapa babi diharamkan? “Jangan sesekali samakan dengan ternakan halal”

Dari Penulis

Isu yang dibangkitkan tidak pernah sunyi.

Di sebalik kilauan teknologi dan hujah ekonomi, muncul satu gelombang yang semakin berani, mempertahankan penternakan babi secara besar-besaran.

Ada yang berkata ia sekadar industri.
Ada yang melihatnya sebagai sumber rezeki.

Malah ada yang cuba menenangkan keadaan dengan alasan, ‘sekarang semuanya bersih, moden, terkawal.’

Namun bagi pempengaruh dan pendakwah bebas, Ustaz Healing Shahrin, isu ini bukan sekadar soal penternakan.

“Ini bukan sekadar cerita babi. Ini cerita tentang sejauh mana kita tunduk kepada Allah,” katanya.

Bila wahyu sudah menetapkan garis

Dalam al-Quran, pengharaman babi bukan disebut sekali tetapi berulang kali.

Antaranya dalam Surah Al-Baqarah (ayat 173), Surah Al-Ma’idah (ayat 3), Surah Al-An’am (ayat 145) dan Surah Al-Nahl (ayat 116).

Ayat-ayat ini dengan jelas tentang pengharaman daging babi.

Tiada ruang tafsiran yang longgar. Tiada ruang kompromi.

“Kalau Allah sudah kata haram, maka di situlah noktahnya.

“Walaupun manusia masih mencari-cari sebabnya, walaupun akal masih bertanya kenapa?. Haram tetap haram.”

Ustaz Healing Shahrin

Sains menjawab sebahagian… Bukan Segalanya

Di sinilah sains sering dibawa masuk sebagai hujah.

“Kalau kita lihat kajian sains sekali pun, memang benar, ternyata daging babi membahayakan kesihatan manusia.

“Misalnya penyakit Trikinosis. Trikinosis adalah penyakit zoonosis yang disebabkan oleh cacing parasit Trichinella yang ditularkan melalui konsumsi daging babi mentah atau kurang masak.”

Dalam masa yang sama, Ustaz Shahrin memberi amaran.

“Kalau satu hari nanti teknologi jadi terlalu canggih, semua bakteria hilang, semua parasit mati… adakah hukum berubah?

“Jawapannya tetap sama: Tidak.

“Kerana dalam Islam, hukum bukan dibina atas sains. Sains hanya membantu manusia memahami, bukan menentukan.”

Bila teknologi dijadikan alasan

Hari ini, ada yang berkata. Sistem moden lebih bersih. Penternakan lebih terkawal. Risiko boleh dielakkan.

Tetapi persoalan sebenar bukan itu.

“Islam tidak bergantung kepada teknologi.
“Walau setinggi mana pun kemajuan, hukum tetap sama.”

Haram tetap haram. Tidak berubah mengikut zaman.

Hakikat yang cuba dilupakan

“Babi adalah haiwan yang makan hampir semua jenis benda. Hidup dalam keadaan yang sering dikaitkan dengan kotoran.

“Mempunyai kandungan lemak yang tinggi”

Namun, Ustaz Shahrin mengingatkan.
“Ini bukan soal menghina ciptaan Allah, tetapi memahami hikmah di sebalik larangan.”

Kenapa babi tidak dibela seperti haiwan ternakan lain?

“Isu babi bukan sekadar penternakan biasa kerana ia melibatkan faktor agama, budaya dan sensitiviti masyarakat.

“Malaysia merupakan negara majoriti Muslim. Dalam Islam, babi jelas diharamkan sebagai makanan, termasuk segala produk daripadanya.

“Oleh itu, umat Islam tidak akan memakan babi walau dalam apa keadaan sekalipun.”

Bagi sebahagian komuniti seperti Cina Malaysia dan India Malaysia, daging babi adalah sebahagian daripada makanan harian.

Namun dalam masa yang sama, majoriti rakyat beragama Islam dan di sinilah bermulanya garis yang tidak boleh dilangkah.

“Berbeza dengan ayam, kambing dan lembu yang boleh dilepaskan atau diternak secara terbuka, babi tidak boleh diperlakukan sama.

“ Bukan kerana sifat fizikal semata-mata, tetapi kerana statusnya dalam Islam sebagai najis berat.

“Jika terkena, perlu disamak mengikut kaedah tertentu, menyebabkan ramai Muslim berasa tidak selesa walaupun sekadar melihat atau berada berdekatan.

“Dari sudut praktikal, semua haiwan ternakan mempunyai bau. Namun penternakan babi, terutama dalam skala besar, boleh menghasilkan bau yang lebih kuat serta berisiko mencemarkan alam sekitar jika tidak dikawal dengan baik.”

Menurut Ustaz Shahrin lagi, berbeza dengan kambing atau lembu yang halal dan tidak menimbulkan sensitiviti tinggi.

Penternakan babi perlu dikawal bagi menjaga keseimbangan antara keperluan ekonomi, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.

“Ringkasnya, isu babi di Malaysia bukan sekadar soal ternakan, tetapi melibatkan gabungan hukum agama, sensitiviti budaya dan dasar kawalan kerajaan. Jangan sesekali samakan babi dengan ternakan halal.”

Ujian yang lebih besar daripada yang disangka

Di sinilah terletaknya rahsia sebenar.
Pengharaman babi bukan sekadar soal
kesihatan, kebersihan tetapi soal ketaatan.

Seperti juga pengharaman arak dan riba. Semuanya adalah ujian.

“Allah nak lihat, kita ikut kerana faham… atau kita ikut walaupun belum faham.

“Kerana Islam bukan sekadar agama yang memuaskan akal, tetapi agama yang menundukkan akal kepada wahyu.”

Apa yang sebenarnya dipertahankan?

Akhirnya, isu ini bukan lagi sekadar tentang babi.

Bukan sekadar tentang ladang atau industri.

Tetapi tentang satu perkara yang lebih besar.

Bila sesuatu yang jelas haram mula dipertahankan… apa yang sebenarnya sedang kita pertahankan? Ekonomi?
Teknologi? Atau keinginan manusia yang tidak mahu tunduk?

“Kita boleh hidup dalam dunia moden. Tetapi kita tidak boleh ubah hukum Allah untuk sesuai dengan dunia.”

Dalam dunia yang semakin kabur antara benar dan salah, jawapannya tidak terletak pada hujah yang paling kuat.

Tetapi pada hati yang paling tunduk.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This