Pegawai tentera ditahan, memandu bawah pengaruh alkohol akibatkan kemalangan ragut 1 nyawa

Azrul Hakimie Anuer
Azrul Hakimie Anuer
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

Dari Penulis

SEORANG pegawai tentera ditahan selepas memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya MEX awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira 5.38 pagi di KM 1.9 Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.

Jelasnya, ia melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah MPV jenis Perodua Alza yang merupakan kenderaan e-hailing dan sebuah kereta jenis Ford Fiesta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Ford Fiesta yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang juga merupakan seorang pegawai tentera dipercayai telah memasuki laluan bertentangan.

“Ford Fiesta itu bertembung secara berhadapan dengan sebuah MPV e-hailing yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang sedang bergerak lurus di lorong kiri.

“MPV e-hailing tersebut membawa dua orang penumpang warga Bangladesh iaitu seorang lelaki berumur 22 tahun dan seorang wanita berumur 20 tahun yang baru tiba dari KLIA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri menambah, akibat pelanggaran, penumpang lelaki warga Bangladesh berumur 22 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya lagi, manakala penumpang wanita warga Bangladesh berumur 20 tahun mengalami kecederaan pada anggota badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Hasil ujian pernafasan alkohol ke atas pemandu kereta Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had yang dibenarkan.

“Ujian saringan air kencing turut dijalankan dan keputusan adalah negatif. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman CCTV di lokasi kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu Ford Fiesta telah ditangkap dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) iaitu kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This