ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas.
Ini susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) Sektor Timur pada 3 Jun lalu sehingga mengakibatkan tiga anggota pengaman Spanish Battalion (SPANBATT) cedera dengan salah seorang disahkan terkorban, semalam.
ATM dalam kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira SPANBATT yang gugur dan mendoakan kesembuhan segera buat anggota tercedera.
“ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung ke atas pasukan pengaman, adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 UNSC,” katanya hari ini.
ATM menambah sebagai tindak balas taktikal terhadap perkembangan ini, profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen MALBATT 850-13 telah ditingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi (Status Level Red).
“Seluruh pergerakan rondaan telah digantung sementara waktu. Pasukan kini beroperasi di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas UNIFIL.
“ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB), memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

