TV AlHijrah, MAIWP santuni 30 pelajar asnaf menerusi program Bangkit Asnaf 2026

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PEMBANGUNAN modal insan dan suntikan motivasi berterusan menjadi kunci utama dalam usaha membebaskan golongan asnaf daripada belenggu kemiskinan tegar.

Menyedari hakikat bahawa bantuan material sahaja tidak mencukupi, stesen penyiaran Islamik, TV AlHijrah, dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menggembleng tenaga menganjurkan program berimpak tinggi, Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026.

Program interaktif yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei lalu di Perlis itu menyaksikan penglibatan seramai 30 orang pelajar asnaf terpilih.

Kesemua peserta merupakan murid sekolah rendah dari sekitar ibu kota, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Keramat 1, SK Bukit Jalil, SK Bandar Tasik Selatan, SK Cochrane Perkasa, SK Batu Muda, dan SK Sentul Utama.

Agenda utama pengisian program ini adalah untuk memugar semula keyakinan diri, menyuntik keberanian, serta menghapuskan stigma ‘rendah diri’ yang sering bersarang dalam pemikiran anak-anak daripada latar belakang keluarga kurang berkemampuan.

Bagi kebanyakan peserta, kembara ilmu ini bermula dengan keterujaan luar biasa apabila mereka berpeluang menaiki tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari KL Sentral menuju ke Arau, Perlis. Pengalaman keluar daripada radius kehidupan seharian ini secara tidak langsung membuka minda mereka untuk melihat potensi dunia luar yang luas.

Sepanjang berada di zon utara tanah air itu, modul yang diterapkan tidak sekadar bersifat rekreasi, malah merangkumi slot pembangunan sahsiah, aktiviti menyantuni komuniti setempat, serta latihan komunikasi berkesan demi membentuk jati diri yang mampan.

Pengurus Projek, Muhammad Sazri Abd Sani menegaskan, impak jangka panjang terhadap landskap pemikiran anak-anak asnaf ini merupakan objektif utama yang ingin dicapai oleh pihak penganjur.

“Hasrat kami adalah untuk memastikan setiap anak yang pulang daripada program ini membawa satu tekad baharu bahawa mereka juga mampu mencipta kejayaan.

“Walaupun status mereka hari ini adalah sebagai penerima bantuan, sasaran masa hadapan kita adalah untuk melihat mereka bangkit menjadi penyumbang dan tangan yang memberi kepada masyarakat semula,” katanya.

Tambahnya, bahawa kekangan hidup sering kali memadamkan impian besar anak-anak ini, justeru sokongan moral dan kepercayaan moral daripada ekosistem sekeliling adalah kritikal.

“Dalam mendepani isu kemiskinan, sokongan emosi dan pembinaan kepercayaan dalam diri mereka adalah sama penting dengan bantuan kewangan.

“Apabila anak-anak ini mula percaya kepada keupayaan diri sendiri, itulah titik tolak kepada sebuah penghijrahan hidup yang sebenar,” katanya lagi.

Keberkesanan program ini terbukti apabila rata-rata peserta yang dahulunya bersifat pasif dan pendiam, mula menunjukkan anjakan positif dari segi keyakinan diri, berani berinteraksi, serta mula meluahkan cita-cita untuk mengubah nasib keluarga.

Rentetan daripada kejayaan program tersebut, TV AlHijrah bakal membawakan sebuah kapsul khas Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 pada 13 dan 14 Jun 2026, pukul 6:55 petang.

Dokumentari pendek ini akan memaparkan sorotan penuh emosi, perjuangan, dan semangat kental anak-anak asnaf ini dalam membina fasa baharu kehidupan mereka.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Duit lesap, pengarah ‘ghaib’, Wafariena tak halalkan upah puluhan ribu

PELAKON Wafariena Roslan mendedahkan dirinya masih belum menerima baki bayaran lakonan daripada sebuah syarikat produksi drama walaupun sudah hampir...

More Articles Like This