Polis cari individu panjat pagar, curi pakaian di jemuran

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

POLIS menjalankan siasatan bagi mengesan seorang individu yang dipercayai telah menceroboh sebuah rumah dengan memanjat pagar dan mencuri pakaian jemuran dalam kejadian di sebuah rumah teres di Taman Cheras Indah, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan, pihaknya telah mengesan kejadian itu menerusi satu video tular di laman Threads kira-kira pukul 5 petang, semalam.

Menurut beliau, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular itu memaparkan seorang individu dilihat memanjat pagar tembok sebuah rumah teres.

Susulan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat seorang wanita berusia 31 tahun pada hari yang sama selepas mendapati pakaian di jemuran telah hilang.

“Pengadu memaklumkan menyedari bahawa pakaian yang dijemur di luar rumah telah hilang kira-kira pukul 10 pagi.

“Semakan CCTV mendapati seorang individu memakai jubah gelap telah memanjat pagar masuk ke halaman rumah lalu mengambil pakaian jemuran pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, pemeriksaan mendapati hanya pakaian yang dijemur sahaja yang hilang dan tiada barangan lain didapati dicuri.

Kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kes itu masih dikesan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 379, pesalah boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan dikenakan denda. Jika kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebat.

“Individu berkenaan juga boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This