Pemandu Lexus positif dadah rempuh remaja hingga maut

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah yang terbabas ke laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Salim, Sibu, malam tadi.

Lebih mengejutkan, pemandu Lexus RX350 berusia 25 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani saringan awal air kencing.

Dalam kejadian jam 11.15 malam, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu pada jam 12.24 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon berkata, siasatan awal mendapati Lexus terbabit sedang bergerak dari arah pusat bandar Sibu menuju ke Salim sebelum dipercayai hilang kawalan.

“Kereta itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembonceng motosikal yang juga lelaki berusia 19 tahun turut cedera dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Azari berkata, pemandu Lexus terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 8 Jun bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This