SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai pemimpin muda yang berwawasan, dinamik, rajin dan progresif.
Ujarnya, beliau juga rajin menerjah dalam memastikan masalah rakyat diselesaikan, berjaya wujudkan kestabilan, keyakinan dan kreatif membawa pelabur masuk hingga Johor mencatatkan nilai pelaburan tertinggi.
“Namun, yang paling saya kagum, setiap tindakan dan perancangan tidak pernah lekang di bibirnya bahawa kebergantungan semutlaknya kepada Allah.
“Saya doakan beliau dan rakan-rakan Barisan Nasional Johor terus diberikan mandat untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan Johor,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, secara rasmi dibubarkan pada 1 Jun lalu, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Onn Hafiz Ghazi dengan berkata, ia dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

