Akmal cabar PM buang semua MP UMNO jika BN tiada peranan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada Kerajaan Perpaduan jika benar Barisan Nasional (BN) dianggap tidak memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kenyataan yang mempertikaikan peranan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas kerana gabungan itu antara pihak yang membantu memastikan kerajaan dapat dibentuk ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung.

Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, yang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kenyataannya mengenai peranan BN dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kepimpinan PKR tidak sepatutnya melupakan sejarah awal pembentukan kerajaan selepas PRU15, termasuk pertemuan yang diadakan dengan pimpinan UMNO bagi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan.

“Mungkin mereka terlupa atau buat-buat lupa bahawa selepas PRU15, UMNO sudah bersedia menjadi pembangkang.

“Namun ketika itu, pihak yang gagal membentuk kerajaan datang mendapatkan sokongan BN untuk memastikan sebuah kerajaan dapat ditubuhkan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.

Muhamad Akmal turut mempertahankan Zahid yang didakwa bersikap angkuh apabila mengingatkan mengenai peranan BN dalam pembentukan kerajaan.

Beliau mempersoalkan dakwaan berkenaan dan menegaskan apa yang disebut Presiden UMNO itu adalah berdasarkan fakta sejarah politik pasca-PRU15.

Katanya, jika benar ada pihak beranggapan BN tidak mempunyai peranan dalam Kerajaan Perpaduan, maka mereka perlu berani membuktikannya.

“Jika kepimpinan PKR merasakan BN tidak mempunyai peranan dalam kerajaan ini, saya cabar Perdana Menteri untuk menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.

“Boleh atau tidak?” katanya.

Dalam kenyataan sama, Muhamad Akmal turut menyindir PKR berhubung beberapa janji pilihan raya termasuk pemansuhan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menurutnya gagal ditunaikan.

Pertikaman lidah antara pemimpin UMNO dan PKR itu tercetus susulan perdebatan mengenai peranan sebenar BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This