“DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN).”
Demikian jaminan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata, perkara itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman.
“Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz menjelaskan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor merupakan dua entiti yang berbeza.
Kata beliau, BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurut Onn Hafiz, keadaan itu berlaku apabila tiada mana-mana gabungan yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Pusat.
Namun begitu, kata beliau, situasi tersebut tidak sama dengan apa yang berlaku di Johor.
“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Alhamdulillah, kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Kita telah membuktikan prestasi dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

