SATU gempa bumi kuat dilapor telah berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, gempa bumi bermagnitud 7.9 itu melanda Mindanao berpusat di lokasi dengan koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur.
Menurut MetMalaysia, gempa tersebut berlaku kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City dengan kedalaman 50 kilometer.
“Gegaran dilaporkan dirasai di Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.
“MetMalaysia sedang memantau perkembangan kejadian ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Jepun mengeluarkan amaran tsunami di sepanjang pantai Pasifik manakala agensi geofizik Indonesia turut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisiran timur laut negara itu.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) pula mengeluarkan amaran tsunami melebihi satu meter berpotensi landa sembilan kawasan pesisir pantai di Filipina pagi ini.
Dalam satu kenyataan, PHIVOLCS memaklumkan berdasarkan pangkalan data senario tsunami tempatan, kawasan terjejas dijangka mengalami ombak tsunami melebihi satu meter (m).
Agensi itu menjangkakan ombak tsunami pertama akan tiba antara jam 7.37 pagi hingga 9.37 pagi ini waktu tempatan dan fenomena itu mungkin berterusan selama beberapa jam.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

