CUTI sempena Aidiladha tempoh hari, saya sempat pulang ke kampung halaman.
Ketika itu, kebun kecil di depan rumah sedang ‘berbahagi rezeki’ dengan buah mangifera odorata atau kuini masak ranum mengeluarkan bau yang cukup harum.
Begitulah rezeki pulang ke kampung sambil mensyukuri nikmat dikurnia daging korban.
Buah kuini memang mengeluarkan bau harum dan menarik minat kumpulan beruk yang bersembunyi di hutan bersebelahan, menunggu masa untuk ‘menyerang’.
Apabila kita sergah, kumpulan beruk yang berstatus ‘senior’ dan lebih besar badannya akan ke depan serta menyergah kita semula.
Inilah penyakit beruk, yang tidak berakal apabila berebut rezeki dengan kita yang ‘memiliki’ tanah kebun tersebut.
Binatang seperti beruk ini, kera, monyet dan sewaktu dengannya cukup signifikan dengan kehidupan manusia.
Sehinggakan Allah pernah melaknat sekumpulan bangsa yang degil, tak mematuhi perintah dan suka ‘pusing cerita’ menjadi kera.
Dalam alam Melayu juga cukup popular dengan cerita rakyat berkaitan spesies sedemikian.
Masih ingat cerita sang kancil dan kura-kura dengan naratif negatif seekor monyet yang kelaparan.
“Aku mahu itu, aku mahu itu,” jerit monyet menunjukkan kepada buah cili yang pada matanya nampak indah.
Kedegilan monyet ini membawa padah apabila menelan yang sakit berbanding ada banyak lagi buah-buahan yang lazat.
Pemikir tersohor alam Melayu, Buya Hamka juga pernah menukil kata-kata berkaitan spesies kera ini.
Tulis beliau: “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja”.
Mesej yang hendak disampaikan oleh Pak Hamka ini penuh puitis dan penting kepada kita yang bergelar ‘manusia’ ini.
Kita, manusia, bagi Pak Hamka, perlu mencari erti kehidupan sebagai ‘manusia’ yang jauh sifatnya jika hendak dibandingkan dengan haiwan.
Sebab itu dalam kehidupan kita sebagai manusia, yang paling berharga adalah ‘akal’.
Pokok pangkalnya, menjadi lebih baik, menjalani kehidupan yang jauh lebih baik berbanding haiwan.
Berhati baik dan bercakap dengan tutur kata yang baik. Itulah manusia, bukannya penuh helah, degil, kasar dan berhati busuk sesama manusia.
Ada manusia yang dinaikkan darjatnya sebagai ketua, hormati ia sebagai ketua.
Ada manusia yang dikurnia rezeki yang baik, hormati rezeki yang ia peroleh.
Hidup ini mudah, usah disusahkan dengan hati kita yang rosak sehingga merendahkan martabat kita sebagai manusia.
Jika tidak, apa beza kita dengan kera, beruk, monyet?
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

