PAKATAN Harapan (PH) menyifatkan Negeri Sembilan berdepan risiko krisis pentadbiran sekiranya Belanjawan Negeri gagal diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemungkinan berlakunya kegagalan meluluskan belanjawan itu menjadi antara sebab utama mengapa mandat baharu perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, kelulusan belanjawan adalah agenda paling penting dalam sidang DUN kerana ia menentukan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, jika belanjawan berkenaan gagal diluluskan, ia memberi gambaran bahawa kerajaan negeri sudah kehilangan sokongan majoriti dalam DUN.
“Kegagalan meluluskan belanjawan akan menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan lancar, peruntukan pembangunan tidak dapat disalurkan dan program kebajikan rakyat terjejas.
“Operasi pentadbiran negeri juga akan berdepan kesukaran sebelum DUN akhirnya perlu dibubarkan dan pilihan raya diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, meneruskan susunan politik sedia ada tanpa mendapatkan mandat baharu daripada rakyat adalah satu risiko yang terlalu besar untuk diambil.
Katanya, daripada menunggu sehingga tercetus krisis politik dan pentadbiran yang lebih serius pada Oktober, adalah lebih wajar rakyat diberi peluang menentukan semula kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti.
“Isunya bukan sekadar soal politik, tetapi membabitkan kestabilan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.
“Dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu akhir. Biarlah rakyat membuat keputusan parti mana yang mempunyai majoriti dan layak mentadbir Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik tidak boleh dipertaruhkan kerana masa depan Negeri Sembilan perlu dibina atas mandat yang jelas dan kukuh daripada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa mandat dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju pentadbiran negeri serta mengelakkan sebarang ketidaktentuan yang boleh menjejaskan urusan kerajaan dan kepentingan rakyat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

