MCA menyifatkan tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengaitkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai kenyataan yang mengelirukan rakyat serta mencerminkan kegagalan memahami prinsip asas sistem perlembagaan negara.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata dakwaan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor boleh membawa kepada pembebasan Najib menimbulkan persoalan serius mengenai kefahaman Nga terhadap prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Beliau berkata, jika kenyataan itu benar-benar dipercayai oleh Nga, rakyat berhak mempersoalkan sama ada Menteri Persekutuan itu sedang memberi gambaran wujud campur tangan politik dalam institusi kehakiman negara.
“Jika itulah maksud kenyataannya, adakah beliau secara tidak langsung sedang menuduh Kerajaan MADANI mencabuli prinsip pengasingan kuasa dan menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi proses perundangan serta keputusan mahkamah?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Neow turut mempersoalkan pendirian Nga sekiranya benar berlaku campur tangan politik dalam urusan kehakiman, sama ada beliau akan mempertahankan kebebasan institusi negara atau sekadar menggunakan naratif berkenaan sebagai bahan kempen politik.
Menurutnya, sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas dan tidak tertakluk kepada pengaruh kerajaan negeri mahupun Persekutuan, justeru mengaitkan keputusan pilihan raya dengan nasib individu yang sedang menjalani proses perundangan adalah tidak tepat.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja berpotensi mengelirukan rakyat, malah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti institusi kehakiman.
Dalam masa sama, Neow turut mempersoalkan mengapa kenyataan berkenaan disampaikan dalam bahasa Mandarin dan hanya kepada masyarakat Cina ketika satu program di Jelapang, Perak.
Katanya, rakyat kini semakin matang dalam menilai isu politik dan mampu membezakan antara hujah berasaskan fakta dengan retorik yang dimainkan bagi menimbulkan ketakutan atau prasangka untuk meraih sokongan politik.
Beliau menggesa DAP supaya berkempen secara lebih matang dan memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat seperti ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan masa depan negara.
“Biarlah rakyat Johor membuat penilaian berdasarkan rekod, prestasi dan tawaran yang dikemukakan, bukannya melalui propaganda atau momokan politik yang tidak berasas,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

