PEMANDU yang mempunyai rekod pemanduan baik dan mematuhi undang-undang jalan raya berpeluang menikmati premium insurans kenderaan lebih rendah sehingga 10 peratus menerusi Inisiatif Cermat MADANI yang dilancarkan hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi menggalakkan budaya pemanduan lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui penggunaan data serta maklumat berkaitan risiko pemandu.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu membolehkan syarikat insurans dan pengendali takaful menilai premium secara lebih tepat berdasarkan profil risiko sebenar pemandu dan kenderaan, sekali gus memberi ganjaran kepada mereka yang memandu dengan selamat.
“Pemandu yang berhemah tidak seharusnya dinilai dengan cara yang sama seperti pemandu yang kerap melakukan kesalahan atau mempunyai profil risiko lebih tinggi.
“Melalui Cermat MADANI, pemandu yang mempunyai profil risiko rendah boleh dipertimbangkan untuk menerima manfaat premium sehingga 10 peratus, tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans atau pengendali takaful yang mengambil bahagian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Cermat MADANI, hari ini.
Menurutnya, manfaat berkenaan bukan berbentuk rebat atau promosi komersial, sebaliknya ditentukan berdasarkan penilaian risiko sebenar yang dibuat oleh syarikat insurans dan pengendali takaful.
Loke berkata, pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan liberalisasi tarif insurans motor oleh Bank Negara Malaysia yang memberi ruang kepada industri menawarkan produk dan kadar premium berdasarkan penilaian risiko lebih terperinci.
Pada masa sama, beliau berkata, aplikasi MyJPJ terus diperkasakan sebagai gerbang perkhidmatan digital yang lebih menyeluruh kepada rakyat, termasuk menyediakan akses kepada perkhidmatan insurans kenderaan melalui kerjasama strategik dengan pemain industri.
Katanya, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak syarikat yang memenuhi syarat teknikal, keselamatan data dan tadbir urus menyertai platform berkenaan bagi menawarkan perkhidmatan pihak ketiga kepada pengguna.
“Melalui Cermat MADANI, kita mahu melangkah lebih jauh daripada sekadar menyediakan saluran pembelian atau pembaharuan insurans secara digital.
“Kita mahu mewujudkan sistem yang membolehkan premium ditentukan secara lebih adil dan berasaskan risiko sebenar pemandu,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa awal memberi tumpuan kepada pembentukan kerjasama antara kerajaan dan industri insurans serta takaful sebelum diperluaskan melalui penggunaan data dan kaedah penilaian risiko yang lebih menyeluruh.
Loke menegaskan, Cermat MADANI bukan sekadar pembaharuan dalam sistem insurans, sebaliknya satu intervensi keselamatan jalan raya yang menggunakan insentif ekonomi bagi mengubah tingkah laku pemanduan secara positif.
Katanya, apabila pemanduan selamat diberikan pengiktirafan dan nilai, lebih ramai pengguna jalan raya dijangka mematuhi had laju, mematuhi isyarat lalu lintas serta mengelakkan kesalahan berulang.
“Keselamatan jalan raya bukan sekadar soal angka atau statistik, tetapi melibatkan nyawa manusia, keselamatan keluarga dan kesejahteraan masyarakat. Setiap perubahan tingkah laku yang mampu mencegah kemalangan dan menyelamatkan nyawa adalah kejayaan yang amat bermakna,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

