Tak seperti biasa, Piala Dunia 2026 kelihatan suram

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Piala Dunia 2026 dimulakan dengan perlawanan pertama melibatkan satu daripada pasukan tuan rumah iaitu Mexico menentang Afrika Selatan.

Sepak mula pada awal pagi Jumaat itu menjadi pembuka tirai buat Piala Dunia 2026 yang sepatutnya ditunggu-tunggu peminat bola sepak.

Bagaimanapun, suasana menjelang perlawanan itu terasa agak janggal.

Berbanding edisi-edisi terdahulu, bahang kejohanan sukan paling berprestij di dunia itu seolah-olah gagal menyelinap masuk ke dalam kehidupan seharian peminat.

Tiada perdebatan hangat di kedai kopi tentang pasukan pilihan dan tiada juga demam pembelian jersi baharu secara besar-besaran.

Malah, perbualan mengenai pemain-pemain bintang yang bakal menyerlah juga dilihat tenggelam di sebalik pelbagai isu lain yang lebih mendominasi perhatian dunia.

Piala Dunia sepatutnya menjadi pesta yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.

Setiap empat tahun, dunia biasanya akan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada sebuah kejohanan yang mempunyai keupayaan luar biasa menyatukan jutaan manusia di bawah satu bahasa yang sama — bola sepak.

Walaupun tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke pusingan akhir Piala Dunia, namun sokongan dan bahang kejohanan itu akan menyusup masuk ke dalam setiap peminat bola sepak di Malaysia.

Namun kali ini suasananya berbeza.

Bukan kerana kualiti pemain semakin merosot atau pasukan-pasukan besar tidak lagi menarik perhatian.

Sebaliknya, dunia hari ini sedang berhadapan terlalu banyak konflik dan ketidaktentuan sehingga bola sepak gagal menjadi keutamaan seperti dahulu.

Konflik yang berlarutan di Asia Barat terus menghantui perhatian masyarakat dunia.

Setiap hari, media antarabangsa dipenuhi laporan peperangan, kematian orang awam dan ketegangan geopolitik yang semakin membimbangkan.

Dalam keadaan seperti itu, sukar untuk sebahagian masyarakat melihat bola sepak sebagai sesuatu yang mampu mengalihkan perhatian mereka.

Ironinya, Piala Dunia kali ini turut diadakan di Amerika Syarikat, negara yang sering dikaitkan dengan pelbagai konflik geopolitik dunia.

Walaupun bola sepak dan politik sepatutnya dipisahkan, hakikatnya sentimen awam tidak pernah bergerak dalam ruang yang terasing.

Situasi tak banyak beza di Malaysia

Di Malaysia pula, situasinya tidak banyak berbeza.

Sebelum ini, kejohanan itu dilihat suram kerana khabar angin berlegar tiada pihak yang berjaya memperoleh hak penyiaran rasmi.

Peminat bola sepak kemudiannya menarik nafas lega apabila RTM dan Unifi TV diumumkan bakal menyiarkan kesemua perlawanan di platform masing-masing.

Namun begitu, pengesahan itu seolah-olah tidak banyak mengubah suasana.

Tiada kempen besar-besaran yang benar-benar berjaya mencetuskan demam Piala Dunia.

Tiada iklan yang menjadi sebutan ramai. Tiada naratif yang berjaya membangkitkan emosi peminat seperti yang pernah berlaku dalam edisi-edisi lalu.

Sebahagian besar rakyat mungkin lebih sibuk memikirkan soal kehidupan berbanding memikirkan pasukan mana bakal menjulang trofi bagi edisi kali ini.

Bagaimanapun, sejarah menunjukkan bahawa Piala Dunia mempunyai keupayaan unik untuk mengubah segalanya dalam sekelip mata.

Mungkin hari ini suasananya suram. Mungkin ramai masih belum merasakan debaran sebenar.

Tetapi apabila lagu tema mula berkumandang, stadium dipenuhi penyokong dari seluruh dunia dan aksi pertama bermula, tidak mustahil demam Piala Dunia akan kembali menjangkiti jutaan peminat.

Kerana pada akhirnya, Piala Dunia bukan sekadar sebuah kejohanan.

Ia adalah pentas yang sering melahirkan kisah luar biasa, air mata, kejutan dan kenangan yang akan dikenang selama bertahun-tahun.

Cuma bagi saya, edisi kali ini mungkin buat pertama kali sejak sekian lama melihat Piala Dunia ‘diraikan’ lebih suram.

Mungkin jika ‘dijangkiti’ demamnya pun akan lebih segera kebah.

Bukan kerana bola sepak sudah hilang magisnya tetapi mungkin kerana dunia di luar padang sedang bergelut dengan terlalu banyak perkara yang lebih besar daripada sukan itu sendiri.

Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Penempatan haram Rohingya berlarutan di Sungai Tekali atas kebenaran pemilik tanah

PEMILIK tanah yang membenarkan pembinaan struktur dan penempatan tanpa kelulusan oleh warga Rohingya di Sungai Tekali dikenal pasti sebagai...

More Articles Like This