KENYATAAN Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghalang penyatuan ummah dan memilih kepentingan kelompok disfatkan sebagai tuduhan tersasar.
Sambil menafikan dakwaan tersebut, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid menegaskan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited dalam usaha untuk menyatukan parti-parti politik Melayu.
Malah, kata beliau, kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas mesyuarat MT PN pada 16 Mei.
Menurut Harris Idaham, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa mesyuarat bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya bersama parti-parti tertentu.
Katanya, kenyataan Takiyuddin menyebutkan bahawa kerjasama pilihan raya itu melibatkan parti-parti yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN.
“Susulan daripada itu, pada 17 Mei, Setiausaha Agung PN sekali lagi mengeluarkan kenyataan media mengesahkan perkara itu.
“Perenggan ketiga kenyataan itu menyebut ‘kerjasama politik ini akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Harris Idaham berkata, dua kenyataan media dikeluarkan Takiyuddin itu jelas menunjukkan PN serta semua parti komponen termasuk Bersatu bersetuju bergandung bahu bersama-sama parti Melayu lain untuk tujuan penyatuan ummah.
“Afnan Hamimi yang juga ahli mesyuarat MT PN sepatutnya peka tentang keputusan-keputusan mesyuarat,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

