SEMPENA meraikan ulang tahun ke-24 bertapak dalam belantika muzik tanah air, kumpulan nasyid tersohor, UNIC, terus mengorak langkah setapak lagi dengan memperkenalkan buah tangan terbaharu mereka yang dinamakan Unicoustic Podcast.
Projek serba moden ini menyaksikan pengasalan semula kesemua karya daripada album studio pertama mereka, You and I See yang kini diberi nafas baharu dalam bentuk susunan muzik akustik yang lebih segar dan intim.
Lebih menarik, kesemua trek tersebut bukan sekadar diluncurkan sebagai audio nyanyian semata-mata, sebaliknya disulami dengan konsep audio siar (podcast) bagi mendedahkan lipatan sejarah yang belum pernah dikongsi sebelum ini.

Mewakili kumpulan tersebut, Dr. Fitri Haris menjelaskan bahawa naskhah interaktif ini merupakan sebuah naskhah dokumentari hibrid yang bakal membongkar memoir awal pembabitan mereka sebagai anak seni.
“Selepas 24 tahun mengabdikan diri dalam industri, kami mahu membawa penjenamaan UNIC ke fasa yang lebih tinggi.Â
“Menerusi projek Unicoustic Podcast, kami merakamkan semula lagu-lagu daripada album sulung kami dalam versi akustik.
“Istimewanya, projek bertajuk You and I See ini digarap dalam format podcastbertujuan untuk menyingkap kembali sejarah awal penubuhan kumpulan, rahsia di sebalik penciptaan lagu-lagu lama, serta suka duka yang dilalui oleh saya, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi sepanjang memperjuangkan irama nasyid di negara ini,” katanya.

Memperincikan mengenai struktur pengisian, penerbitan eksklusif di bawah payung Unic Legacy itu mengandungi 10 episod pengisian visual dan audio serta diserikan dengan 10 buah lagu akustik.
Projek berskala besar ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil sokongan dana penggiat seni daripada pihak kerajaan melalui agensi peneraju industri kreatif.
“Penerbitan ini dijayakan menerusi Geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang dibawakan secara eksklusif oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui agensi MyCreative Ventures.
“Inisiatif sokongan seperti geran ini sebenarnya memberikan impak yang amat besar buat penggiat seni seperti kami.Â
“Ia bukan sahaja menyuntik semangat baharu, malah menjadi pemangkin utama dalam usaha memartabatkan serta melestarikan lagi industri nasyid tempatan,” jelas Fitri lagi.
Dedikasi Buat Peminat & Misi Kemanusiaan
Sedar akan sokongan peminat yang menjadi tulang belakang kelangsungan kumpulan ini sejak dua dekad lalu, Unic berharap agar naskhah terbaharu ini mampu mencetuskan rantaian nostalgia buat pendengar setia mereka.
“Besar harapan kami agar buah tangan terbaharu ini dapat mengembalikan semula memori indah sewaktu awal penubuhan Unic, sekali gus menjadi perlambangan kekuatan bagaimana kami mampu bertahan sehingga ke hari ini.
“Kami juga ingin menzahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Digital, MyCreative Ventures, serta rakan-rakan media yang tidak pernah lelah menyokong.Â
“Kehadiran kalian amat bermakna dalam membantu kami meneruskan legasi perjuangan dakwah serta membawa misi kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

