ENAM bulan menyulam cinta dalam fasa pertunangan, penyanyi Didi Astillah akhirnya menamatkan zaman bujang dan sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Muhammad Nur Fiqrat Ismat Diniey pada hari ini.
Pasangan merpati dua sejoli itu selamat disatukan dengan hanya sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang cukup syahdu dan penuh bermakna.
Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 30, dinikahkan oleh bapanya sendiri, Awang Istillah sekitar pukul 10.05 pagi di Cyberjaya.
Majlis resepsi dan akad nikah yang mengangkat tema rona serba putih suci itu berlangsung dalam suasana yang cukup intim, eksklusif, serta harmoni.Â
Acara tersebut hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak bagi menyaksikan detik indah penyatuan cinta mereka.Â
Upacara ijab kabul berkenaan telah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Mohammad Nazri.
Menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kelancaran hari bahagia mereka, pasangan ini turut berkongsi perasaan gembira berhubung fasa baharu dalam kehidupan mereka berdua.
Pada majlis yang cukup indah itu, pengantin lelaki telah menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 kepada Didi yang menjadi simbolik bermulanya tanggungjawab sebagai suami isteri yang sah.Â
Adat perkahwinan Melayu turut diserikan dengan acara berbalas dulang hantaran, pihak pengantin perempuan gembira menerima tujuh dulang, berbalas lima dulang hantaran istimewa buat pihak lelaki.
Seri majlis perkahwinan ini tidak hanya terhenti di situ, malah ia turut mencuri tumpuan dengan kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.Â
Beliau dilihat hadir memberikan sokongan dengan tampil segak bergaya mengenakan persalinan baju Melayu rona putih, sedondon dengan tema keseluruhan majlis pernikahan berkenaan.
Sebagai rekod dan mengimbau kembali detik percintaan mereka, pelantun yang melonjak naik menerusi lagu hit Fikirkan Kamu itu sebelum ini telah menerima kejutan lamaran yang cukup romantis daripada Diniey tepat pada detik sambutan ambang Tahun Baharu 2026.
Susulan lamaran yang menyentuh hati itu, pasangan berkenaan tidak menunggu lama apabila mereka mengikat tali pertunangan secara rasmi pada 11 Januari lalu.Â
Majlis pertunangan tersebut juga diadakan secara tertutup membabitkan keluarga dan rakan terdekat bertempat di sebuah hotel bertaraf mewah di sekitar ibu kota.Â

